Malik Stream taja 111 orang tunai umrah

Malik Stream taja 111 orang tunai umrah
Datuk Abdul Malik Dashtigeer

Seramai 111 orang termasuk tiga Orang Kelainan Upaya (OKU) bakal berlepas ke Mekah, Arab Saudi untuk menunaikan ibadah umrah pada 28 Jan, ditaja sepenuhnya oleh Malik Stream Corporation Sdn Bhd (Malik Stream).

Ketua pegawai eksekutif Malik Stream Datuk Abdul Malik Dashtigeer berkata 88 warga tempatan dan 23 warga India akan pergi menunaikan ibadah umrah dengan nilai keseluruhan tajaan berjumlah RM900,000.

Kesemua jemaah dalam lingkungan usia 45 hingga 82 tahun terdiri daripada golongan kurang berkemampuan yang sebahagiannya warga emas dan ibu tunggal.

“Ini antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Malik Stream dan kali pertama ia dilaksanakan pada 2017 dan ketika itu kita hanya menaja 50 jemaah umrah sahaja.

“Tahun ini, kita telah gandakan kepada lebih 100 orang bagi membantu lebih ramai lagi umat Islam yang kurang berkemampuan untuk menunaikan ibadah umrah,” katanya pada sidang media ´Majlis Makan Malam dan Pelancaran Keberangkatan Jemaah ke Tanah Suci Mekah 2020´ pada Ahad.

Menurut beliau, proses pemilihan jemaah umrah itu dijalankan dari Oktober hingga Disember tahun lepas dengan 500 pemohon telah mendaftar untuk mengikuti program CSR berkenaan.

“Bagaimanapun, kita hanya memilih mereka yang benar-benar layak sahaja dan setiap jemaah dipilih berdasarkan syarat yang ditetapkan antaranya mereka perlu terdiri daripada penerima bantuan baitulmal,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, seorang OKU yang terpilih menerima tajaan, Awang Minai, 55, menzahirkan penghargaan kepada pihak Malik Stream kerana menerima permohonannya untuk menunaikan ibadah umrah.

“Saya rasa bersyukur kerana sudah lama mengimpikan untuk mengerjakan umrah. Alhamdulillah, kali ini doa saya dimakbulkan Allah S.W.T. dan tidak menyangka dapat pergi ke Tanah Suci Mekah dengan bantuan Malik Stream,” katanya yang mengalami masalah penglihatan.

Malik Stream yang ditubuhkan sejak 2007 adalah sebuah syarikat hartanah dan produksi perfileman yang menceburi perniagaan runcit serta borong.– BERNAMA