Malu jadi rakyat Malaysia tidak kuasai bahasa Melayu

Malu jadi rakyat Malaysia tidak kuasai bahasa Melayu

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sekolah vernakular wajib menunjukkan kesungguhan dan bersedia mengambil tanggungjawab memastikan pelajar mereka menguasai bahasa kebangsaan negara.

Menurutnya, pelajar di sekolah vernakular perlu menguasai bahasa kebangsaan pada tahap kefasihan yang setanding atau lebih tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan memandangkan bahasa Melayu merupakan identiti kepada sesebuah negara bangsa.

“Adalah janggal dan ironis jika terdapat seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia, dengan mendapat segala nikmat dan keistimewaan seorang warganegara tetapi tidak boleh memahami, tidak boleh bertutur, tidak boleh menulis dan tidak boleh membaca dalam bahasa kebangsaan negaranya,” titahnya.

Sultan Nazrin bertitah, usaha bagi memastikan setiap pelajar di sekolah vernakular menguasai bahasa kebangsaan harus dijadikan salah satu indeks utama pengukuran pencapaian sekolah.

Hal ini bagi membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu disamping turut meminimumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat terhadap sekolah vernakular di negara ini.

Sekolah yang memiliki komposisi kaum daripada kalangan rakyat bukan berketurunan Cina yang kecil, titahnya, harus mengambil langkah menerokai ruang yang membolehkan berlangsungnya interaksi lebih bermakna dalam kalangan pelajar daripada pelbagai agama dan kaum.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di Jalan Gereja, Ipoh semalam.

Mengaibkan

Kamal Shukri Abdullah Sani

Sementara itu, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) menyifatkan menganggap amatlah memalukan jika ada segelintir warganegara masih tergagap-gagap bertutur bahasa Melayu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara sendiri.

Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani, sejauh mana jati diri dan patriotik warganegara terbabit boleh dipertikaikan jika mereka memandang rendah terhadap bahasa negara sendiri memandangkan bahasa Melayu adalah jati diri dan citra negara ini yang menjadi ciri pembeza dengan negara lain.

Sehubungan itu, beliau berharap kurikulum dan pembelajaran bahasa Melayu di SJKC dan SJKT disetarakan dengan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

“Alasan bahawa pelajar SJKC dan SJKT bukan penutur asli bahasa Melayu tidak wajar lagi diguna pakai kerana semua pelajarnya warganegara Malaysia.

“Amat mengaibkan jika warganegara Malaysia sejak lahir tidak fasih berbahasa kebangsaan dan ini tidak pun berlaku di negara lain,” tegas Shukri lagi dipetik dalam satu kenyataan hari ini.

CATEGORIES
TAGS