Malu jika PM tua tapi tak malu PM terpalit rasuah

Malu jika PM tua tapi tak malu PM terpalit rasuah

“Najib malu jika Perdana Menteri (PM) Malaysia terdiri dari orang tua berumur 90 tahun lebih.

“Tetapi Najib tak berasa malu apabila Malaysia mempunyai PM yang dunia kenal sebagai kleptokrat, perasuah dan pencuri,” ujar Tun Mahathir Mohamad dalam entri di laman blognya chedet.cc.

Menurut Tun Mahathir, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak berasa malu apabila percubaan untuk membersihkan duit yang ‘dicuri’ dari 1MDB oleh anak tirinya dengan membeli mahligai di London, New York dan Hollywood, membuat filem dan sebagainya didakwa oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) kerana melanggar undang-undang pengubahan wang haram negara tersebut.

Malah Najib yang turut dibabitkan dalam saman sivil DoJ itu, katanya tidak berasa sedikit pun malu.

“Kapal layar Equanimity dirampas oleh polis Indonesia bersama Federal Bureau of Investigation (FBI) – Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat.

“TV dan majalah Indonesia melapor kapal ini dibeli dengan duit yang dicuri dari 1MDB oleh Jho Low, sahabat karib Najib. Seluruh Indonesia dan kepimpinannya sekarang tahu Najib terlibat dengan mencuri duit 1MDB, Najib sedikitpun tak berasa malu.

“Malah Najib hadiri mesyuarat ASEAN/Australia di Melbourne tanpa sedikit pun berasa malu berada bersama Presiden Indonesia dan Perdana Menteri Australia dan Singapura, bahkan semua ketua-ketua kerajaan yang hadir tahu akan pencuriannya.

“Tidak pun (Najib) malu apabila cuba menasihat ketua-ketua Kerajaan ASEAN dan Australia akan cara menangani masalah,” tulis pengerusi Pakatan Harapan itu.

Negara kata beliau, malu mempunyai perdana menteri yang telah menyelewengkan berbillion ringgit duit kerajaan dan Malaysia diklasifikasi sebagai negara rasuah dan kleptokrasi.

Malah tambah beliau, ada di kalangan rakyat negara ini berasa malu sehingga tidak mengakui rakyat Malaysia apabila ditanya di luar negara.

“Rakyat Malaysia malu tetapi Perdana Menteri mereka tidak malu. Kononnya mempunyai Perdana Menteri, berumur lebih dari 90 tahun memalukan Najib.

“Sesungguhnya amat pelik perdana menteri Malaysia ini. Apalah nasib rakyat Malaysia mendapat perdana menteri yang dipandang hina oleh dunia dan tak tahu malu.

“Rakyat malu,” kesal beliau.

Sehubungan itu, bekas perdana menteri itu menyifatkan Najib tidak mempunyai perasaan malu kerana masih berlagak sebagai seorang yang boleh menasihati pemimpin negara lain apabila bertemu mereka.

Dalam perkembangan lain, kehadiran Tun Mahathir dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan (PH) di Guar Chempedak malam tadi disambut ribuan rakyat negeri itu.

Antara pemimpin PH yang hadir ialah presiden AMANAH Mohamad Sabu, timbalan presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan para pemimpin PH peringkat nasional dan negeri.