“Malulah kita dengan dosa”, PU Riz tegur wanita mengaku lebih selesa tak bertudung

Oleh WAN SITI AMINAH

Pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai PU Riz tampil menegur kenyataan individu yang mengaku lebih selesa tidak memakai tudung untuk menjadi diri sebenar.

Menerusi satu hantaran di platform Instagram, Pu Riz memaklumkan bahawa dirinya terpanggil untuk menegur kenyataan yang disifatkan melampau itu walaupun kurang gemar mengulas isu semasa.

Jelas pendakwah selebriti itu, semua umat Muslim dituntut untuk memiliki rasa malu dengan dosa yang telah dilakukan selain menasihatkan individu berkenaan supaya segera bertaubat.

“Jarang saya nak komen. Tetapi kalau melampau dan sebut ‘lebih selesa untuk tidak bertudung, inilah diri saya yang sebenarnya’. Kita manusia tidak lari dari melakukan kesilapan.

“Tetapi dalam agama ini, ada bahagian yang dipanggil ‘malu dengan dosa’. Cubalah sebaiknya untuk bertaubat apabila tersilap. Malulah kita dengan dosa. Sebab yang buat dosa pahala ini bukan bapa saudara kita.

“Namun Allah SWT yang menetapkanNya,” kata Pu Riz di dalam hantaran tersebut selain turut berkongsikan sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A mengenai isu itu.

Pu Riz yang juga merupakan suami kepada usahawan selebriti iaitu Noor Neelofa itu turut mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan perkara dilarang Allah meskipun semua manusia dilahirkan tidak sempurna.

“Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin atau mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan (Riwayat Al-Bukhari, 6069).

“Kita semua ini pun buat dosa. Tetapi janganlah sampai menafikan apa yang disuruh Allah. Ada larangan keras bagi mereka yang mempamerkan dosa-dosa yang dilakukan. Belajarlah, jangan buat tak tahu.

“Kita tidak menghukum sesiapa, cuma mengingatkan sahaja. Kalaulah perasaan dan hati jadi sandaran semata-semata, memang akan binasa hidup ini. Syariat Tuhan hadir untuk membimbing manusia.” Ujarnya.

Baca juga: Ustaz Azhar Idrus kata tak wajib suami dan isteri tidur satu bilik