Malaysia Dateline

Malunya rakyat Sabah jika Bung Mokhtar jadi ketua menteri, kata veteran DAP

Rakyat Sabah akan tertunduk malu sama ada di Malaysia mahupun di mana-mana pun dalam dunia jika Datuk Bung Moktar Radin yang bermulut kasar dan kerap menyumpah seranah menjadi Ketua Menteri Sabah, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Bagi beliau, Bung terkenal dengan perbuatan mengucapkan perkataan jelik empat-huruf di Parlimen dan juga terkenal sebagai seorang yang tidak menghormati maruah dan peranan yang dimainkan oleh wanita dalam masyarakat Malaysia.

“Adakah Bung bersedia untuk memohon maaf di atas penggunaan perkataan jelik ini serta di atas perbuatan beliau yang sering merendahkan maruah dan peranan golongan wanita di Malaysia yang dilakukan sepanjang kerjaya beliau di Parlimen selama 21 tahun?” tanya ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Ketika berceramah di Likas pada jam malam tadi, Kit Siang bertanya, adakah mana-mana pemimpin dunia yang bermulut kasar seperti Bung, yang mengeluarkan kata-kata jelik sewenang-wenangnya seperti beliau ini.

“Benar, Umno Sabah telah berubah, bukannya berubah kepada yang lebih baik, tetapi berubah menjadi lebih teruk,” kata Kit Siang.

Umno Sabah mahu pengerusi mereka, Bung Moktar Radin untuk menjadi Ketua Menteri Sabah selepas PRN Sabah.

Bung Moktar pula telah meminta rakyat Sabah untuk memberikan Umno peluang lagi, kerana katanya Umno dan BN telah berubah dan kini komited kepada pentadbiran yang adil, telus, dan boleh dipercayai.

“Adakah UMNO Sabah telah berubah bersendirian tanpa Umno Malaysia?

“Bagaimanakah Umno Sabah ini telah berubah apabila mereka menentang penggunakan slogan “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti” yang digunakan oleh pemimpin Warisan Plus, Shafie Apdal dalam kempen PRN Sabah beliau?” tanya beliau lagi.

Katanya, dalam menentang slogan ini, Bung telah menentang prinsip-prinsip Rukun Negara — satu kejadian yang amat malang di bulan sambutan Jubli Emas Rukun Negara.

“Kerana inilah saya telah mencadangkan Perdana Menteri untuk meminta semua Menteri Kabinet untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada Rukun Negara.

“Adakah Umno Sabah kini mahukan kerajaaan yang bersih dan bebas rasuah?” tanya beliau.

Jika ya, Umno Sabah perlu meninggalkan mentaliti “Malu Apa Bossku” dan semua pemimpin Umno Sabah perlu mempunyai nilai moral yang bertepatan dengan kelima-lima prinsip Rukun Negara.

“Jika Bung tidak bersedia untuk meninggalkan mentaliti “Malu Apa Bossku”, mengutuk keras skandal 1MDB, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa, perubahan apakah yang beliau sedang katakan ini?” katanya.