Mamat Exists diminta jalani rawatan psikiatri, hadapi 2 pertuduhan berkaitan dadah

Oleh WAN SITI AMINAH

Vokalis kumpulan Exists, Mamat dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru, semalam untuk menjalani rawatan penyakit mental yang dihadapinya sejak 10 tahun lalu.

Perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor terhadap Mamat ketika menghadapi pendakwaan bagi dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada tahun 2019.

Menurut peguam Mamat iaitu Azlina Abdul Aziz, kes yang dibicarakan itu merupakan kes lama di mana penyanyi berkenaan diberikan jaminan dari pihak polis sebelum ini.

Kes itu bagaimanapun tidak dapat diteruskan kerana pegawai penyiasat mengalami kemalangan teruk dan tidak lagi berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mamat kemudian ditahan pada 7 Januari lalu ketika bersama seorang rakan pada pukul 2 pagi di Taman Perling, semasa pemeriksaan rutin polis, lapor Berita Harian.

“Semasa ditahan dan diperiksa, anak guam bebas bahan terlarang. Namun (ditahan kerana) berada di dalam senarai dikehendaki berikutan kes dadah lama pada 2019.

“Kita doakan untuk Mamat. (Beliau dihantar) ke Hospital Permai untuk rawatan. Untuk pengetahuan, Mamat sudah 10 tahun ada hidap penyakit mental. Dalam tempoh itu, Mamat makan dan dapat suntikan ubat.

“Kita tunggu laporan pakar pada 20 Februari ini untuk tarikh keputusan laporan perubatan psikiatri. Saya percaya Mamat boleh (berubah) kita tahu dia banyak kes tetapi percaya peluang kedua,” katanya memetik Berita Harian.

Mamat ketika diiringi keluar daripada mahkamah memaklumkan dirinya dihantar ke hospital bagi menjalani rawatan dan berharap peminat tetap menyokongnya selepas ini.

“Saya sedang menghadapi kes mengikut seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. Saya perlu dihantar ke Hospital Permai untuk rawatan lanjut psikatri mulai hari ini.

“Semoga peminat dapat memberikan sokongan untuk saya teruskan dalam aktiviti seni selepas ini.” Jelas pelantun lagu Rahsia Pohon Cemara itu ketika ditemui media, semalam.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Mohd Ali Kamarudin itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki dan menggunakan dadah pada tahun 2019 lalu.

Pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Fatimah Zahari dan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin, semalam. 

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil dan Nur Aqillah Ahmad Rofaei manakala penyanyi asal Johor Bahru itu diwakili peguam, Azlina Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, Mamat didakwa memberi dadah berulang kepada diri sendiri jenis methamphetamine pada jam 2 pagi, 9 September 2019 di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

Atas kesalahan itu, penyanyi berusia 46 tahun itu didakwa mengikut Seksyen (15)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39C (1)(b) akta yang sama.

Manakala pertuduhan kedua pula, Mamat didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.17 gram ketika diperiksa polis di Taman Perling pada jam 11.35 malam, 8 September 2019. 

Pertuduhan kedua itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Azlina yang mewakili Mamat memohon anak guamnya dirujuk untuk mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim kemudian membenarkan permohonan peguam bela itu dan menetapkan tarikh 22 Februari depan untuk sebutan semula kes termasuk laporan perubatan.

Baca juga: Syarikat di New York tawar RM47,000 kepada sesiapa berjaya hidup tanpa telefon selama sebulan