Malaysia Dateline

The Red Warriors

Mampukah Bibi Ramjani kembalikan TRW ke Liga Super?

Kejatuhan pasukan The Red Warrios (TRW) sehingga terpaksa bersaing di Liga Premier musim hadapan memberi kegelisahan kepada pelbagai pihak sehingga ada yang mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatan itu.

Desakan terbabit dilakukan berikutan melihat presiden wanita itu tidak berkemampuan untuk menguruskan sukan bola sepak berikutan gagal memperbaiki prestasi dan mengekalkan TRW beraksi pada saingan Liga Super musim hadapan.

Sebaliknya, Bibi Ramjani tidak menghiraukan desakan itu, namun melihat meletak jawatan bukan keperluan yang mendesak untuk mengembalikan prestasi  pasukan Kelantan.

Keputusan mempertahankan jawatan itu sekali gus menjadi tanda tanya sama ada beliau mampu membawa kembali pasukan bekas juara berganda pada 2012 iaitu juara Piala FA dan Piala Malaysia itu untuk kembali beraksi pada saingan Liga Super musim hadapan atau akan terus beraksi pada saingan liga bawahan.

Malah merumitkan lagi persoalan itu, apabila Bibi Ramjani melakukan beberapa tindakan dan keputusan “pembaharuan” yang menjadi antara faktor yang memaksa Kelantan bermain pada Liga Premier. Antara tindakan itu adalah menyingkirkan pemain senior, bertukar ganti jurulatih dan pemain import yang kurang berkualiti.

Menambah lagi kurang keyakinan terhadap presiden wanita itu apabila musim ini, dua naib presiden KAFA iaitu Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim serta Setiausaha Agung perasatuan itu Husin Deraman meletak jawatan pada pertengahan musim kerana mendakwa tiada kesefahaman dalam pengurusan.

Turut menjadi persoalan pelantikan dua pemimpin Kerajaan Negeri iaitu Datuk Takiyuddin Hassan sebagai naib presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Hamat sebagai penasihat adakah ia mampu membantu Bibi Ramjani memgembalikan prestasi TRW atau sekadar mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

Bekas pemain Kelantan era 80an Anizan Daud berkata musim hadapan adalah cabaran yang sebenar menguji kemampuan Bibi Ramjani  untuk membukti seorang wanita mampu menguruskan pasukan bola sepak sekiranya beliau boleh membawa kembali TRW beraksi pada saingan  Liga Super pada musim 2020.

“Justeru itu, ia bukan tugas mudah akan dilalui oleh Bibi Ramjani pada musim hadapan terutama bermain di Liga Premier, banyak perubahan yang perlu dilakukan oleh Bibi Ramjani bagi membuktikan wanita turut mempunyai kemampuan menguruskan sukan bola sepak tidak hanya sukan itu dikhususkan kepada  golongan lelaki.

“Dia (Bibi Ramjani) perlu melantik individu yang berkemampuan dan berpengatahuan dalam aspek pengurusan bola sepak memandangkan dia hanya setahun terlibat secara langsung sebagai orang nombor satu dalam pengurusan KAFA, banyak perkara yang perlu dipelajari,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anizan berkata pengurusan yang hebat penting untuk membuktikan Bibi Ramjani mempunyai kemampuan untuk membawa pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

“Ia penting berikutan kekuatan pasukan bermula daripada pengurusan yang kemas tidak kira pengurusan itu dipimpin oleh wanita ataupun lelaki.

“Begitu juga aspek pemilihan pemain kerana penting kepadanya bagi membuktikan kemampuannya dalam bola sepak tidak hanya hebat dalam perniagaannya, jika pemain tidak berkualiti sudah tentu memberikan kesan buruk kepadanya untuk memberikan keyakinan kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam sukan ini.

Pemilihan pemain tidak perlu ada amalan “tangan ghaib” sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih kerana tangan ghaib akan memberikan kesan buruk kepada pengurusan Bibi Ramjani sendiri sekiranya pemain dipilih tidak membantu mencipta kejayaan pada musim hadapan.

“Jangan ulangi keputusan yang dilakukan pada musim ini, tukar ganti pemain import dan jurulatih ia akan memberi kesan kepada kewangan persatuan terutamaya bermain di Liga Premier yang mana nilai penajaan kurang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRWKB) Mohd Zainy Zain berkata tindakan Bibi Ramjani melibatkan orang Kerajaan Negeri memberikan sedikit kelebihan kepadanya untuk membuktikan kemampuan beliau untuk mengembalikan prestasi cemerlang pasukan Kelantan musim hadapan.

“Pelantikan itu langkah positif bagi mengimbangi masalah kewangan yang dihadapi KAFA sehingga dilihat presidennya tidak berupaya menguruskan persatuan dan pasukan.

“Dua wakil kerajaan negeri ini sudah pasti diharapkan akan memainkan peranan penting dalam mendapatkan penaja dan sumber kewangan bagi KAFA mengharungi perbelanjaan pasukan untuk tahun 2019 untuk membantu Bibi Ramjani,” katanya.

Untuk rekod, musim ini Kelantan bergelut dengan prestasi di bawah kepimpinan baharu KAFA yang diketuai oleh usahawan wanita itu sehingga terpaksa beraksi di Liga Premier selepas hampir 10 tahun beraksi di saingan Liga Super di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa.

Manakala langkah awal yang telah dilakukan oleh Bibi Ramjani untuk persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan adalah melantik semula Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih dan melantik bekas jurulatih kelab Warriors FC yang beraksi dalam Liga Singapura, Jorg Peter Steinebrunner sebagai pengarah teknikal persatuan.

— BERNAMA