Malaysia Dateline

Mampukah BN, PN jamin kestabilan pasca PRN Melaka?

Menulis ketika hanya tinggal tiga hari sebelum pengundi di Melaka keluar untuk memilih kerajaan baru negeri itu menjadi sesuatu yang mencabar lebih-lebih lagi apabila kempen dihadkan mengikut SOP norma baru. Namun kempen tetap menjadi lebih sengit di fasa terakhir ini.

Di atas kertas sepatutnya PH mempunyai kelebihan merangkul kemenangan, namun di negeri yang menjadi base Umno (BN) selama berpuluh dekad, ditambah dengan kehadiran PN yang juga merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri daripada BN, ramalan ini sukar dipertahankan.

Namun sekiranya strategi dan tindakan sesuai dan tepat dengan kehendak majoriti pengundi diadakan, PH masih mempunyai peluang tinggi kembali menerajui pentadbiran negeri setelah diusir hampir 21 bulan yang lalu.

Seperti yang telah saya sebutkan dalam tulisan sebelum ini, kita sedang menyaksikan satu situasi konflik dan kompleks apabila parti-parti gabungan di peringkat Persekutuan iaitu BN dan PN yang memegang kuasa sekarang berpecah pula di Melaka dengan kedua-dua gabungan ini menampilkan calon di setiap DUN dan berkempen melawan satu sama lain.

Serangan peribadi semakin rancak, dan nampaknya pilihan raya ini mempamerkan serangan berbalas antara BN dan PN yang lebih hebat daripada serangan antara dua blok tersebut dengan PH.

Ini tentunya memberi kesan kepada keputusan nanti kerana apa yang dianggap pasti, menjadi tidak pasti seperti ramalan bahawa BN akan memenangi pilihan raya ini dengan selesa dan majoriti besar.

Kempen PN tentunya adalah untuk meraih kemenangan bagi pihaknya tanpa BN di sisi, sama seperti BN mahu kemenangan secara solo juga.

Sementara itu, kempen PH dilihat lebih memfokus kepada tawaran PH sekiranya diberi mandat oleh rakyat Melaka.

Juga, PH tidak lupa untuk menekankan perpecahan antara dua blok kerajaan itu dengan memberikan peringatan apa yang bakal berlaku sekiranya salah satu daripada blok BN atau PN menang belum tentu menjamin kestabilan bagi negeri tersebut.

Dengan itu persoalan yang harus ditanya ialah apakah tawaran yang dibuat oleh ketiga-tiga blok ini.

Bagi BN, menerusi manifestonya yang bertema “Kestabilan demi Kemakmuran” janji dibuat untuk majukan Melaka dengan tumpuan juga kepada kestabilan politik.

PN mengemukakan “Ikrar PN untuk Melaka” dengan tema “Melaka Bangkit Gemilang”. Antara lain mereka juga menjanjikan pelbagai inisiatif bagi negeri itu.

PH pula yang awal-awal lagi melancarkan manifestonya yang bertema “Maju Bersama Harapan” menggariskan 32 inisiatif untuk rakyat Melaka yang antara lain memberi tumpuan kepada ekonomi dan kestabilan pentadbiran negeri.

Melihat kepada ketiga-tiga manifesto tersebut beberapa kesimpulan boleh dibuat. Bagi BN, ia adalah sesuatu yang biasa dibuatnya sebelum ini dan janji-janjinya juga sama. Namun apa yang penting ialah apakah janji-janji itu dapat ditunaikan dalam keadaan sebelum ini pun kerajaan yang baru dijatuhkan itu dikaitkan dengan skandal oleh pemimpin Umno sendiri.

Jika “kestabilan” menjadi tujuan mendapatkan mandat, kenapakah pertelagahan dalaman dibiarkan sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaannya baru-baru ini?

Bagaimanakah “kestabilan” boleh dicanangkan sedangkan ketika mana kerajaan dipimpin Ketua Menteri dari Umno itu hilang kuasa disebabkan penarikan sokongan empat ADUN pembubaran Dewan Undangan Negeri dicadangkan oleh bekas Ketua Menteri BN itu daripada mensihati supaya diusahakan pembentukan kerajaan baru tanpa keperluan mengadakan pilihan raya?

Manifesto PN pula nampak menarik tetapi dipersoalkan dari segi keikhlasan dan kebenarannya kerana janji seperti tidak berkompromi dengan amalan rasuah dan menegak pentadbiran yang telus sukar diterima berdasarkan pengalaman pentadbiran pengerusi PN sebagai Perdana Menteri sebelum ini di mana banyaknya jawatan politik berupa menteri dan ketua GLC diberi semata-mata untuk mendapat sokongan politik.

Rasuah dalam bentuk apa sekalipun adalah rasuah, walau namanya rasuah politik. Rakyat Melaka tentunya sedar tentang perkara ini sepertimana boleh dibaca dalam media sosial sekarang.

Bagi manifesto PH pula, mesejnya nampak jelas dan simple, dan fokus diberi kepada penerusan agenda pembangunan dan kebajikan yang dimulakan oleh pentadbirannya sebelum ini.

Cuma bagi PH kekuatannya bukan terletak pada apa yang tertera dalam manifestonya, tetapi pada peribadi calon Ketua Menteri yang ditampilkan – Adly Zahari.

Nampaknya inisiatif-inisiatif yang dijannjikan PH hanya dapat direalisasikan sekiranya Adly diberi kepercayaan untuk memimpin semula negeri Melaka.

Timbul persoalan – apakah senario yang bakal terjadi sekiranya kemenangan memihak kepada salah satu daripada tiga blok gabungan ini.

Senario pertama ialah kemenangan BN. Andaikata ini terjadi terutama kemenangan tipis bagi BN, ia akan terus membawa ketidakstabilan pada pentadbiran negeri kerana risiko wakil rakyat yang mungkin “melompat” ataupun kerana konflik berpanjangan antara Umno dan Bersatu yang masing-masing mengetuai BN dan PN.

Percakaran antara kedua-dua parti ini akan berterusan dan ini bukan yang dikehendaki oleh pengundi.

Dalam tinjauan yang dibuat Oktober lalu, saya mendapati rata-rata pengundi bimbang tentang penularan semula Covid-19 dan bagaimana percakaran politik menyumbang kepada kemungkinan merebak semula wabak ini.

Senario kedua dengan kemenangan bagi PN juga akan memperlihatkan keadaan yang sama, malah lebih parah lagi, jika diperhatikan kepada apa yang terjadi kepada pengerusi PN selaku PM tidak lama dahulu.

Perseteruan politik antara Umno dan Bersatu tidak mungkin selesai kecuali salah satu daripadanya “ditewaskan”.

Senario ketiga dengan kemenangan PH mungkin membawa kestabilan andaikata PH menang selesa, sebaliknya masih boleh digugat sekiranya mendapat kemenangan tipis.

Budaya “lompat parti” dalam situasi sekarang nampaknya sukar dibendung kerana ketiadaan sekatan undang-undang.

Peratusan keluar mengundi turut menjadi satu isu penting dalam pilihan raya ini. Sekiranya peratusan itu rendah terutama di kawasan di mana pengundi bukan Melayu menjadi penentu, PH akan kalah, sebaliknya jika peratusan adalah tinggi ia akan memberi kelebihan kepada PH.

Rungutan pengundi Cina rata rata adalah terhadap tindakan PH menerima dua bekas pemimpin Umno yang terlibat dalam kejatuhan kerajaan yang lepas. PH perlu mengembalikan keyakinan mereka.

Strategi PH kalau dapat menunjukkan betapa tidak tolerannya kerajaan sekarang – melihat antara lain kepada layanan seorang menteri daripada Pas terhadap wartawan, mungkin mendorong kehadiran pengundi bukan Melayu yang lebih ramai sebagai tanda protes terhadap sikap pemimpin Pas-PN itu.

Justeru, kestabilan pentadbiran menjadi perhitungan penting pengundi bagi menjamin pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat dipelihara.

Mana-mana parti yang menang perlu menjadikan isu ini fokus utama sekiranya diberi mandat oleh rakyat Melaka.