Malaysia Dateline

Mampukah hala tuju DAP mengubah imejnya?

Dalam negara kita sistem politiknya sudah terbentuk sedemikian rupa dengan meletakkan beberapa asas atau ciri yang menjadi teras yang mesti diambil kira oleh semua pemain politik dalam mencari sokongan daripada rakyat.
Parti-parti politik perlu akur dengan ekosistem ini supaya tindakan yang mereka ambil diterima rakyat dan bukan terjadi sebaliknya.

Selama 60 tahun lebih kejayaan Barisan Nasional (BN) dan sebelum itu Perikatan adalah disebabkan oleh kebolehan, keupayaan dan penerimaan oleh gabungan ini kepada “fakta” ekosistem ini.

Ekosistem ini ialah politik Malaysia bergerak atas landasan kaum atau etnik, dan juga agama sebagai unsur tambahan, justeru itu mana-mana parti yang mahu kekal bersaing dalam arena politik perlu “berjuang” dengan mengambil kira ciri ini sehingga ia dikira sebagai “juara” bagi kaum-kaum dalam negara ini.

Namun dalam memperjuangkan kaumnya parti-parti ini harus juga akur dengan komposisi kaum keseluruhan, di mana terdapatnya kaum majoriti dan kaum minoriti.

Seperti dalam kes BN. Ia merupakan satu gabungan parti-parti yang bersifat kaum malah hampir semua parti politik lain juga berasaskan kaum untuk sekian lama sehingga muncul parti berbilang kaum seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada awal 2000-an.

Sebelum tahun 2000, parti berbilang kaum – dengan maksud mempunyai pemimpin atasan parti yang terdiri daripada kaum-kaum besar di Malaysia – sukar diterima, kurang berpengaruh dan tidak mungkin memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam sesuatu pilihan raya.

Ketika pilihan raya, kecenderungan pemilih ialah untuk memilih calon yang mewaikili kaum pemilih itu sendiri; boleh dikatakan ini menjadi faktor penting sehingga parti yang bertanding akan meletakkan calon daripada kaum yang paling ramai terdapat di dalam kawasan undi tersebut.

Maka tidak peliklah kita mendengar tentang kawasan majoriti Melayu dan majoriti Cina yang diwakili calon daripada kaum majoriti kawasan berkenaan manakala kawasan campuran boleh dibuka kepada calon atas kriteria lain.

Memandangkan pengundi di negara kita masih menggunakan kayu ukur kaum dalam banyak keadaan untuk menentukan pilihan mereka lebih-lebih lagi di luar bandar dan kawasan pinggir bandar, semua parti politik yang bercita-cita untuk membentuk kerajaan semestinya akur dengan realiti tersebut.

Perubahan yang ingin dibawa hanya dapat dilakukan setelah menjadi kerajaan untuk waktu yang agak lama, dengan membawanya secara perlahan dan berhati-hati.

Dalam membawa mesej parti ataupun ideologinya, sesebuah parti politik perlu membina keyakinan yang berkekalan dalam kalangan pengundi bahawa ia akan memperjuangkan kepentingan semua kaum terutama kaum majoriti dengan tidak mengabaikan kepentingan kaum minoriti.

Dan dalam konteks semasa, selepas era pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang digambarkan sebagai “tidak mesra Melayu-Muslim”, darjah sentimen kepada kaum majoriti menjadi semakin tinggi, justeru itu parti politik perlu mengorientasikan semula agenda mereka untuk menampilkan imej yang menepati kehendak kaum majoriti walau tidak mengenepikan kehendak kaum minoriti.

Dalam konteks ini hala tuju parti DAP adalah sesuatu yang menarik untuk dianalisis.

Ini kerana DAP kini muncul sebagai parti yang mendapat sokongan kaum minoriti negara ini mengetepikan parti-parti kaum minoriti lain seperti MCA, Gerakan dan MIC.

Dan pada Jun ini ia akan mengadakan pemilihan kepimpinannya yang menyaksikan persaingn sengit antara aliran asal parti yang dikatakan bersifat cauvinis dengan aliran yang lebih sederhana yang dikatakan sebagai “mesra Melayu”.

Parti DAP lahir pada tahun 1960-an berlatarbelakangkan situasi kaum pada ketika itu, dan sebagai respons kepada MCA yang dilihat sebagai telah “ditelan” oleh Umno dan mengabaikan “hak dan kepentingan kaum Cina”.

Penggerak utamanya waktu itu terdiri daripada mereka yang berkelulusan daripada aliran pendidikan Cina, justeru isu-isu turut diperjuangkan atas dasar kaum dan kepentingan Cina.

Retorik yang digunakan untuk membina sokongan condong untuk menjadikannya sebagai “parti Cina” dan imej keCinaan melekat pada parti itu sehingga sekarang, walaupun sudah ada sedikit perubahan dalam menangani isu-isu negara terutama yang berkait dengan dasar-dasar yang diperkenalkan sejak pentadbiran BN dahulu.

Satu perkara yang nyata ialah DAP tidak diterima oleh massa Melayu, malah dalam kalangan elit Melayu pun terdapat kelompok-kelompok besar yang menolaknya.

Memang DAP mempunyai masalah dalam menarik sokongan orang Melayu bukan sahaja kerana faktor sejarahnya tetapi juga kerana sikapnya sendiri yang tidak memberi perhatian kepada realiti politik Malaysia.

Boleh dikatakan bahawa imej (keCinaan dan anti-Melayu) ini menjadi tembok besar yang tidak memungkinkan orang Melayu menyokong atau bersama parti itu, walaupun terdapat usaha secara berkala mendekati orang Melayu seperti kes ahli parlimen Bukit Mertajam baru-baru ini.

Pada orang Melayu, DAP adalah “parti Cina”, “merbahaya kepada kepentingan orang Melayu” dan seluruh naratif yang mewarnai parti itu sebagai anti Melayu.

Imej ini sudah dibina sekian lama dan tidak kurang juga dibantu tindakan atau kenyataan pemimpin parti itu sendiri yang sering mempamerkan kejahilan mereka tentang budaya Melayu-Muslim.

Menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi, sudah terdapat suara perbezaan dalam soal pendekatan politik yang harus diambil.

Beberapa kenyataan telah dibuat oleh dua pihak yang bertentangan memperlihatkan perebutan kepada identiti parti itu – adakah kekal sebagai beridentiti Cina, atau berpindah ke arah yang lebih “centric” dengan merangkum kaum lain terutama Melayu.

Kenyataan pemimpin tertinggi bahawa parti itu akan menolak pemimpin bersifat cauvinis belum tentu akan menentukan identiti barunya selepas pemilihan parti itu nanti.

Dalam konteks perbicaraan mengenai harapan DAP untuk meluaskan pengaruh dan sokongannya di luar masyarakat Cina, sekali gus melunturkan imej keCinaannya, kita perlu merujuk kepada politik yang berasaskan “realiti Malaysia” yang perlu ditangani dan disambut oleh mana-mana parti dalam sistem politik kita.

Apakah yang dimaksudkan dengan “realiti Malaysia” dalam konteks politiknya?

Ia adalah sistem politik berasaskan kepada dominasi oleh orang Melayu-Muslim dengan sokongan oleh bukan Melayu di mana pentadbiran negara akan memperlihatkan saiz kempimpinan Melayu sebagai majoritinya, selaras dengan komposisi kaum negara ini.

Selain itu realiti Malaysia juga adalah penterjemahan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan, iaitu yang dirujuk sebagai unsur-unsur tradisionalnya yang diwarisi sejak sekian lama.

Unsur tradisional seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam dan hak dan keistimewaan orang Melayu. Prinsip-prinsip inilah dipertahankan dan diaplikasi dalam pemerintahan dan polisi.

Justeru itu, DAP mempunyai beberapa pilihan bagi meluaskan sokongannya dalam kalangan masyarakat Melayu. Ia harus bergerak ke arah penerimaan realiti Malaysia dan secara tegas menolak apa jua usaha untuk mengembalikannya ke era lampau dengan identiti keCinaannya.

Bagi memenuhi idealisme baru ini, parti tersebut boleh bermula dengan memilih dan melantik lebih ramai pemimpin Melayu dalam saf kepimpinannya.

Walaupun dalam proses pemilihan sukar ditentukan komposisi kaumnya, perlantikan susulan boleh dibuat bagi memberikan peranan penting kepada pemimpin Melayu dalam parti itu.

Jika ahli DAP mahu merubah imej yang diwarisi selama ini, mereka seharusnya bertindak bagi memberikan peranan lebih besar kepada pemimpin Melayu dalam parti tersebut.

Kedua, pemimpin-pemimpin parti juga perlu belajar dan menyelami budaya orang Melayu-Muslim. Boleh dikatakan inilah antara faktor utama yang menjauhkan orang Melayu daripada parti ini.

Kebanyakan kenyataan yang dilihat menyentuh perasaan orang Melayu terbit daripada kejahilan pemimpin mereka yang tidak memandang serius persoalan budaya ini.

Tidak cukup menampilkan diri dalam pakaian tradisi orang Melayu pada ketika tertentu untuk menunjukkan secara “superficial” kebersamaan dengan masyarakat Melayu, lebih jauh lagi mereka perlu mengambil masa untuk bersama dengan masyarakat Melayu bagi mempelajari pandangan hidup, nilai dan kepercayaan orang Melayu secara lebih dekat.

Seeloknya mereka tinggal di perkampungan Melayu dan menyelami budaya kaum majoriti negara ini agar benar-benar serius dalam menangani isu penolakan orang Melayu terhadap parti mereka.

Ketiga, ia perlu muncul sebagai parti yang pelbagai kaum dalam ertikata yang sebenar sepertimana PKR, walaupun ramai dalam kalangan pimpinan tertinggi terdiri daripada kaum Cina.

Isu yang dibangkitkan mestilah merangkum masyarakat Malaysia secara umum dengan memberi fokus juga kepada kaum Melayu.

Keempat, ia harus menampilkan rangka tindakan atau dasar bagi membantu semua kelompok masyarakat yang terpinggir daripada arus perdana ekonomi dengan memberi perhatian khusus kepada isu kemiskinan terutama dalam kalangan orang Melayu.

Bagaimanakah mereka mahu meningkatkan keupayaan dan status ekonomi orang Melayu? Dapatkah disediakan komitmen bertulis ke arah itu?

Imej parti ini hanya akan berubah sekiranya kepimpinan barunya nanti mengambil tindakan yang benar-benar mencerminkan realiti Malaysia.

Dengan perubahan itu bukan bermakna mereka perlu hilang sokongan masyarakat Cina, hanya pendekatan baru inilah yang boleh membantunya menanggalkan imej negatif yang menghantuinya selama ini.

——————-
Dr Latiff, bekas prof madya Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur