Perdana Menteri baharu, Ismail Sabri dalam siaran langsung televisyen semalam menyeru agar semua rakyat Malaysia bersatu sebagai sebuah “Keluarga Malaysia”
Namun, seperti kata pepatah inggeris, the proof of the pudding is in the eating.
Mampukah Perdana Menteri baharu mewujudkan ruang untuk mengembangkan konsensus nasional mengenai cabaran yang dihadapi Malaysia dalam tempoh 12 – 18 bulan akan datang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15?
Pertama, kita harus menang perang melawan pandemik Covid-19.
Meskipun kes harian baharu semalam direkodkan di bawah paras 20,000 – 19,807 kes – dengan 232 kematian, angka itu tetap dilihat tidak masuk akal memandangkan ketika darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 dengan alasan untuk melawan wabak Covid-19, kita merekodkan 2,232 kes baharu dan empat kes kematian baharu akibat wabak itu, dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 138,224 dan kes kematian terkumpul sebanyak 555.
Kini, kita mempunyai jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 1,555,093 dan 14,186 kes kematian terkumpul. Kita bakal mencipta tiga rekod buruk menjelang Hari Kebangsaan ke-64 yang akan tiba lapan hari lagi pada 31 Ogos:
(i) 16,000 kes kematian keseluruhan;
(ii) lebih 1.7 juta kes Covid-19;
(iii) memintas Republik Czech untuk berada di kedudukan ke-23 antara negara-negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi sedangkan kita berada di kedudukan ke-89 semasa kita menyambut Hari Kebangsaan ke-63 pada 12 bulan yang lalu.
Mampukah Perdana Menteri baharu memastikan terdapat dasar baharu dalam perang melawan pandemik Covid-19 dan pendekatan dan strategi “keseluruhan masyarakat”?
Agak mustahil dasar baharu dan pendekatan serta strategi “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19 dapat dilaksanakan jika reformasi institusi dan Parlimen serta perubahan dasar tidak turut dilaksanakan.
Krisis politik yang membelenggu negara hanya boleh diselesaikan dengan semua pihak kembali berpegang kepada prinsip asas pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara, raja berperlembagaan berdasarkan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik dan melindungi hak asasi manusia.
Kita harus kembali ke keadaan normal sebelum kita dapat bergerak ke peringkat seterusnya dalam usaha pembinaan negara — memenuhi aspirasi Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman untuk negara ini menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.
Namun, sebelum kita boleh menjadi “sinar cahaya” kepada dunia, kita harus mencapai status negara hebat berkelas dunia dan tidak berada dalam trajektori negara gagal.
Mampukah Perdana Menteri baharu membina konsensus seumpama itu dan mengembalikan keyakinan dan harapan dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap masa depan negara ini?