Mampukah Pakatan Harapan guna logo sama?

Mampukah Pakatan Harapan guna logo sama?

Pakatan Harapan (PH) telah mengemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai sebuah parti.

Jika ianya dibenarkan maka PH berpeluang untuk bertanding menggunakan logo yang sama.

Pendaftaran tersebut perlu dimohon di bawah Seksyen 6 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan Pendaftar Pertubuhan akan mempertimbangkan pendaftaran itu di bawah Seksyen 7 Akta 335.

Di bawah Seksyen 7 itu, Pendaftar mempunyai kuasa untuk menolak sesuatu permohonan untuk pendaftaran yang dibuat jika sesuatu pertubuhan itu adalah tidak sah, pertubuhan itu telah diharamkan, nama atau logo pertubuhan itu boleh mengelirukan, pertubuhan itu mempunyai persamaan dengan pertubuhan yang sedia ada, pertubuhan itu dianggap tidak diingini dan patut dibantah atau perlembagaan pertubuhan itu tidak mematuhi kehendak undang-undang.

Pada peringkat awal, pendaftaran telah ditolak akibat isu-isu teknikal. Selepas itu, isu-isu teknikal itu telah diperbaiki dan serahan semula telah dibuat namun nasib pendaftaran PH masih belum diketahui. Sehingga kini, dimaklumkan bahawa usaha-usaha masih dibuat untuk berbincang dengan pihak Pendaftar Pertubuhan untuk mempercepatkan proses pendaftaran itu.

Setelah pendaftaran dengan ROS selesai, logo PH itu perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan logo itu digunakan dalam pilihan raya ke 14. Jika tidak, logo tersebut tidak dapat digunakan sebagai logo bersama dalam pilihan raya yang akan datang. Jika logo PH ini diluluskan maka ia akan menjadi parti yang ke 47 didaftarkan dengan SPR

Oleh itu, PH perlu bersedia dengan pelan B jika pelan A itu tidak mencapai kenyataan. PH kini dianggotai oleh empat buah parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Pelan B yang boleh dipertimbangkan adalah untuk keempat-empat parti ini menggunakan logo yang sama.

Soalnya, adakah parti-parti ini boleh bersedia untuk menggunakan logo yang selaras. Adakah PKR boleh bersetuju untuk menggunakan logo DAP jika mereka bertanding Parlimen Gombak dan adakah DAP boleh bersetuju untuk menggunakan logo PKR jika bertanding di Parlimen Bukit Bintang. Begitu juga dengan parti baharu seperti PPBM dan AMANAH, adakah mereka boleh menerima cadangan untuk tidak bertanding di atas logo sendiri.

Penggunaan logo yang selaras ini akan meningkatkan tahap wibawa PH di mata orang ramai bahawa PH ini adalah satu organisasi yang tersusun seperti Barisan Nasional berbanding jika tiap-tiap parti bertanding menggunakan logo mereka bersendirian. Begitu juga, dengan sumber tenaga manusia dan logistik akan lebih mudah diuruskan jika masing-masing dapat bertolak ansur untuk menggunakan logo yang selaras.

Alternatif lain adalah dengan menggunakan logo yang selaras itu mengikut negeri jika persetujuan tidak dapat dicapai untuk menggunakan logo yang selaras di seluruh negara. Hal ini akan dapat dilaksanakan mengikut negeri misalnya pertandingan di Selangor menggunakan logo PKR, di Johor menggunakan logo PPBM, di Pulau Pinang menggunakan logo DAP dan di Kelantan menggunakan logo AMANAH. Ini juga adalah suatu bentuk kompromi yang positif yang akan mendatangkan keyakinan kepada rakyat bahawa PH benar-benar bersedia untuk menggantikan kerajaan BN.

Sewajarnya pelan B ini perlu diterokai dengan lebih segera memandangkan tarikh PRU 14 yang semakin hampir. Usah berharap kepada pelan A kerana pelan A itu di luar kemampuan kita untuk meramalnya. Sebaliknya, tumpuan kepada pelan B dan mungkin ada pelan C yang lebih cantik untuk dipertimbangkan. Sama-samalah kita berharap semoga Majlis Presiden PH dapat merungkaikan perkara ini dengan segera.

CATEGORIES