Mampukah Pas dan Umno bersaing atas ide progresif?

Oleh MUHD NOR SAMAD

ULASAN: Pas dan Umno telah membuktikan bahawa mereka mewakili pemikiran status-quo dalam membentuk masa depan negara. Segala usaha kerajaan PH untuk menyambut hasrat Malaysia Baru bersandarkan kepada pemikiran progresif dan inklusif mendapat tentangan sama ada dari sikap mereka mahupun keputusan yang dibuat.

Saya meneliti setiapa pandangan dan kritikan terhadap dasar progresif PH dan mendapati ada dua kerangka berfikir dalam kritikan orang ramai. Pertama ialah kritikan secara perlaksanaan dasar dari sudut keberkesanan, kedua ialah kritikan penolakan kepada dasar-dasar yang diperkenalkan.

Mengkritik kaedah dan keberkesanan dasar adalah perkara biasa supaya ia dapat mencapai maksud sesuatu dasar dibuat. Penolakan kepada ide yang baik dan menfaat kepada awam adalah sesuatu yang mengundang persoalan yang lebih mendasar iaitu apakah yang membentuk cara pemikiran politik mereka? Lebih penting ialah apakah mereka punya alternatif yang lebih baik?

Di sinilah Pas dan Umno menyerlahkan apa yang tersirat dalam acuan pemikiran mereka. Ahli Parlimen Pas dan Umno enggan mengisytiharkan harta mereka walaupun itu adalah tuntutan terlalu mudah dan basic bagi mana-mana jawatan yang ada kepentingan awam.

Kedua, Pas dan Umno memainkan isu perkauman dan agama sempit dalam semua keputusan dan usaha reform yang diusahakan oleh PH seperti isu Tabung Haji, Pengajaran Jawi dan isu ICERD, Rome Statute dan lain-lain. Ketiga Pas dan Umno dalam usaha meraih sokongan politik sanggup memfitnah, berbohong dan memanupulasi kenyataan-kenyataan kerajaan dengan niat memutarbelitkan kenyataan rasmi kerajaan demi meraih sokongan politik.

Apakah gaya pemikiran seperti ini layak membina negara? Pas dengan gaya politiknya yang lebih berkhayal di alam utopia daripada berpijak di dunia realiti mendakwa hanya Pas sahaja yang layak membawa Islam manakala Umno yang dulunya progresif kini merangkul kejumudan dan sanggup bermainkan sentimen kaum murahan? Apakah sentimen sedemikian yang akan menentukan masa depan negara?

Tun M memang bertemu dengan semua pihak termasuk Umno dan Pas tetapi menyedari gaya berfikir Umno dan Pas yang tidak membantu kepentingan negara yang lebih besar dalam fasanya yang kritikal hari ini, pertemuan tersebut adalah untuk membetuli kejumudan Pas dan Umno. Memang isu Melayu dan Islam perlu ditangani tetapi dalam kerangka pemikiran bagaimana? Itulah yang Tun M mahu jelaskan kepada Umno dan Pas, mesej pertemuan ialah mari kita berfikir di luar kotak berfikir secara status-quo!

Begitu juga keseluruhan kepimpinan Malaysia Baharu hari ini yang terbuka mengajak semua pihak untuk sama-sama menyokong pemikiran yang progresif, inklusif dan menolak pemikiran sempit agama dan kaum supaya seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati kemakmuran bersama. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Gagasan RAHMAH adalah pelantar membentuk Malaysia Baharu yang perlu didokong bersama.

Bersama tidak bermakna mencairkan identiti kepartian masing-masing tetapi bersama bermakna mengkritik agar dasar yang menguntungkan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan bukan menentang segalanya atas nama kepentingan politik sempit!

Kalaupun Pas dan Umno bergabung hendak bersaing, biarlah saingan itu mendasari ide-ide progresif ke arah perubahan yang lebih baik untuk Malaysia. Hanya dengan persaingan yang sihat ini rakyat akan menikmati dasar yang lebih menguntungkan. Soalnya mampukah Umno dan Pas yang menamakan diri mereka Muafakat Nasional punya kerangka berfikir paling asas ini? Adakah mereka cukup progresif untuk memimpin perubahan ke arah lebih baik?

* Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Naib Presiden AMANAH Nasional dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)