Malaysia Dateline

‘Mana ada penjajah perli Melayu suruh bersatu, kamera jangan gegar’, ini senarai apa penonton mahu untuk Mat Kilau 2

Watak penjajah yang kerap perli Melayu supaya bersatu selain tuntutan supaya kamera jangan melampau gegar antara deretan cadangan orang ramai untuk kesinambungan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Rata-rata penonton mahu Mat Kilau 2 jauh lebih baik daripada yang ditayangkan pada masa ini.

Pengakuan pengarahnya, Syamsul Yusof berkenaan sekuel filem yang setakat ini telah mengaut lebih RM71.27 juta selepas tiga minggu ditayangkan itu dilihat mengundang rasa teruja penonton.

Syamsul bagaimanapun berkata, Mat Kilau 2 akan mengambil masa yang lama bagi memastikan kualiti dan penambahbaikan.

Ramai menyifatkan kesinambungan filem bersandarkan kepahlawanan Mat Kilau itu akan dapat menampilkan watak Tokku Paloh iaitu ulama masyhur Terengganu abad ke-19 ketika era pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Hal ini memandangkan, Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus turut membantu Mat Kilau selain Datuk Bahaman dan Tok Gajah menentang penjajah British pada 1894.

“Kalau ikut sejarah Mat Kilau akan diburu. Raja-raja Melayu pun buru beliau. Rasa-rasanya lepas tapisan tak nanti tu?Tapi bagusnya akan keluar watak-watak baru seperti Tokku Paloh,” kata pengguna Facebook Abel Maleq.

Bagi Muhammad Ikhwan Mirza pula, dia berharap filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu tidak terlampau merepek.

“Skrip biar logik sikit. Mana ada orang Inggeris dok perli-perli Melayu suruh bersatu,” bidasnya.

Selain itu, ramai juga mengingatkan pasukan produksi filem itu untuk lebih peka dengan hal berkaitan pengucapan bahasa hingga pakaian pelakon tambahan sekalipun.

“Pastikan props dan dialog sesuai dengan latar zaman. Pekerja lombong tu janganlah bagi pakai baju baru keluar plastik. Apa-apapun Mat Kilau memang padu! 👍👍👍,” kata netizen lagi.

Dalam masa sama, warganet juga berharap jalan cerita bagi Mat Kilau 2 jangan sama sekali apologetik dan terikut-ikut dengan kehendak golongan tertentu yang sukar menerima hakikat sejarah zaman penjajahan di Tanah Melayu.

LANJUT MENYUSUL

Baca juga Apa yang Pas mahu rakyat pelajari dari filem Mat Kilau?