Malaysia Dateline

Mana baki surcaj pengguna bernilai RM594 juta, soal Yeo Bee Yin

Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) wajar disalurkan bukan sahaja kepada pengguna domestik bahkan juga kepada pengguna komersial dan industri.

Yeo berkata, ketika ini dianggarkan terdapat sejumlah RM594 juta baki surcaj pengguna-pengguna komersial dan industri yang disumbangkan ke KWIE bagi tempoh Jan hingga Jun 2020.

Justeru, beliau meminta agar Menteri Tenaga dan Sumber Asli (keTSA) memberi penjelasan sama ada sejumlah wang simpanan pengguna-pengguna komersial dan industri dalam KWIE akan disalurkan kepada mereka atau tidak.

“Adakah Menteri KeTSA akan mengambil langkah ini untuk mengelakkan perniagaan tempatan daripada gulung tikar sekaligus menyelamatkan para pekerja daripada kehilangan punca pendapatan?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bakri itu berkata, harga arang batu yang menjunam lebih rendah daripada harga asas kiraan ICPT sejak suku pertama tahun ini akibat krisis Covid-19, dianggarkan dapat memberikan penjimatan ketara dalam kos penjanaan elektrik.

Beliau mencadangkan agar penjimatan kos bahan api dilepaskan sepenuhnya kepada semua kategori pengguna-domestik, komersial dan industri, dalam bentuk rebat melalui mekanisme ICPT bagi tempoh Julai sehingga Disember 2020.

Yeo turut menggesa agar Menteri KeTSA mengumumkan nilai rebat yang lebih bermakna untuk semua kategori pengguna elektrik bagi tempoh Julai hingga Disember 22020.

“Apabila harga arang batu menurun hujung tahun lepas (tetapi masih lebih tinggi daripada harga asas arang batu yang digunakan dalam penentuan Imbalance-Cost-Past-Through (ICPT) Regulatory Period 2 (RP2) pada USD75 setan), kami menurunkan surcaj yang perlu dibayar oleh pengguna komersial dan industri dari 2.55 sen ke 2 sen untuk tempoh Jan hingga Jun 2020,” katanya.