Malaysia Dateline

Aku Janji BN PRU 13 Parlimen Kulim Bandar Baharu

Mana janji BN di Kulim Bandar Baharu?

Pengundi dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu dinasihatkan supaya tidak lagi termakan janji-janji manis Umno-BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ustaz Othman Don Pengerusi Parti Amanah Negara kawasan Kulim Bandar Baharu Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Kulim-Bandar Baharu Othman Don berkata, Umno-BN dikehendaki menunaikan segala janji-janji PRU13 yang telah pun mereka laung-laungkan sebelum ini.

Malah katanya, Aku Janji Pilihan raya BN Kulim-Bandar Baharu yang menyatakan ‘Rakyat Didahulukan ‘ juga hanyalah retorik yang akan dimainkan sekali lagi menjelang PRU yang akan datang.

“Hospital Daerah Bandar Baharu yang dijanjikan dalam manifesto mereka tidak tertunai sehingga sekarang.

“Manakala janji mereka untuk mewujudkan Pusat Latihan Kemahiran Pertama di Sg.Batu juga tinggal janji-janji kosong semata-mata.

“Mana dia janji BN hendak bina Kompleks Sukan Serdang, sehingga kini masih menjadi penantian yang tidak kunjung tiba,” tegasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Sekretariat Pakatan Harapan bagi Parlimen Kulim-Bandar Baharu turut mempertikaikan janji BN untuk membina Kompleks Sukan serta Dewan Serbaguna di Bandar Baharu yang belum menjadi realiti hingga kini.

“Janji BN untuk mewujudkan RTC di Pekan Selama pun masih lagi tidak nampak bayangnya.

“Mereka juga menjanjikan akan mewujudkan Pusat Pengumpulan Buah-Buahan di Sg.Kechil Hilir dan Relau, tapi tidak terlaksana pun.

“Yang paling mendukacitakan ialah janji mereka untuk membina jalan raya empat lorong Kulim-Bandar Baharu masih belum menjadi kenyataan, ” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, jalan raya Durian Burung yang turut dijadikan sebagai janji dalam manifesto PRU13 turut menjadi persoalan.

Sepanduk BN yang berjanji akan membina Jalan Raya Kulim Bandar Baharu 4 lorong tapi tidak tertunai hingga kini

“Projek pusat makanan udang galah Sg Kechil Ulu serta janji untuk menaik taraf pengkalan nelayan Bagan Semak juga tidak mereka tunaikan sehingga kini.

“Usaha untuk menaik taraf Sg.Kerian sebagai destinasi pelancongan Bandar Baharu juga tidak menampakkan kebenaran janji-janji yang telah dibuat sejak hampir lima tahun yang lalu.

“Tasek Serdang yang dijanjikan oleh BN untuk dibangunkan sehingga kini masih lagi menjadi janji-janji kosong,” soalnya lagi.

Tambahnya lagi, budaya politik wakil rakyat Umno-BN masih tidak berubah.

“Semasa musim menjelangnya pilihan raya setiap hari mereka akan turun padang menunjukkan muka kepada pengundi kononnya untuk menjaga rakyat.

“Namun begitu selepas menang, dengar cerita YB Umno sekeluarga pindah duduk diluar negeri dan juga negara.

“Akhirnya tinggallah pengundi terkontang-konteng menagih simpati menunggu janji-janji lama BN, ” katanya,

Sehubungan itu katanya, menjelang PRU14 nanti, pengundi wajib membuat perubahan dengan memberi peluang kepada Pakatan Harapan (Harapan) pula untuk menerajui kepimpinan.

Tegasnya lagi, Harapan mampu dan berjanji akan menyelesaikan projek-projek yang ditinggalkan oleh Umno-BN.

Yang pasti katanya, Umno-BN tidak boleh menjadi teladan yang baik sebagai pengurus mahupun memimpin negeri dan juga negara.