Malaysia Dateline

Mana janji komputer riba dan RM100 untuk mahasiswa

Program e-belia yang menyediakan manfaat sehingga RM100 kepada mahasiswa IPTA dan IPTS sepertimana yang telah dibentangkan dalam Parlimen melalui pembentangan Belanjawan 2021 juga memperuntukkan inisiatif pemberian 150,000 unit komputer riba belum menampakkan kesungguhan atau realiti sebenar kerajaan.

Malah peruntukkan hasil sumbangan bersama oleh 13 buah GLC dan GLIC tersebut masih lagi menjadi polemik dikalangan rakyat khususnya golongan belia dan mahasiswa walaupun pembentangan telah dibuat oleh Menteri Kewangan sejak November 2020.

Demikian persoalan yang dizahirkan oleh Mahasiswa Harapan melalui kenyataan bersama oleh Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional, Zamirul Nur Hakim, Presiden Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Muhammad Syamil Lutfi dan Presiden Mahasiswa ROKET, Calvin Yeoh.

“Sehingga Mac 2021 masih belum menampakkan lagi bunga perkembangan mengenainya kendatipun peruntukkan dan bantuan tersebut telah dijanjikan untuk disalurkan pada bulan Februari yang lalu.

” Mahasiswa Harapan menggesa kerajaan dan kementerian berkaitan seperti Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengajian Tinggi mempercepat dan menyegerakan inisiatif pemberian komputer riba dan bantuan e-belia RM100 seperti yang telah dijadual serta dijanjikan sebelum ini.

“Kami turut kesal apabila peruntukkan tersebut telah menimbulkan kekeliruan maklumat apakala pemberian sebanyak 150, 000 unit komputer riba seperti dinyatakan bukanlah diberi secara percuma, sebaliknya menerusi skim pinjaman yang disertai dengan syarat antaranya denda akan dikenakan sebanyak RM300 jika berlakunya kerosakan ataupun hilang, ” menurut kenyataan tersebut.

Mahasiswa Harapan juga mempersoalkan apakah justifikasi kerajaan yang tidak memaklumkan secara telus mengenai pemberian komputer riba yang dibuat secara skim pinjaman yang dilengkapi dengan denda RM300 sekiranya berlaku kerosakan.

Tambah kenyataan tersebut, skim ini dilihat sebagai mencambahkan lagi liabiliti mahasiswa yang sudah tersepit dengan situasi ekonomi semasa serta menuntut agar pihak kerajaan jangan sesekali cuba mencipta alasan bagi melambatkan proses pemberian bantuan yang telah diperuntukkan dan segera memberikan penjelasan mengenai status terkini pemberian bantuan tersebut.