Malaysia Dateline

Mana lagi tempat MP berbincang kalau bukan di Parlimen, netizen ‘sekolahkan’ Pas

Kenyataan seorang pemimpin Pas Selangor yang mempersoalkan motif desakan supaya kerajaan membuka sidang Parlimen dan membatalkan pengisytiharan darurat hanya mengundang kecaman warga maya.

Rata-rata netizen mengecam kenyataan Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri itu, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh di Facebook Harakahdaily apabila bertubi-tubi bertanyakan untuk apa sebenarnya desakan supaya sidang Parlimen dibuka kembali.

Namun, dilihat menggunakan hujah mengelirukan, Fuad kemudiannya berkata, ahli-ahli Parlimen sama ada daripada pembangkang mahupun kerajaan sepatutnya duduk bersama membincangkan penyelesaian untuk mengurangkan peningkatan kes penularan Covid-19.

“Masalahnya untuk apa? Itu persoalan paling besar. Kenapa ahli parlimen sibuk hendak mendesak untuk diadakan sidang Parlimen?

“Adakah hanya kerana sekarang ini PN dikatakan mempunyai majoriti yang amat tipis ataupun sudah tidak cukup majoriti kalau Parlimen bersidang?

“Sibuk mendesak. Untuk apa sebenarnya mendesak diadakan sidang Parlimen? Ini yang kita hendak tahu sebenarnya. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?” soal Fuad bertali arus.

Pertikaian pemimpin Pas berkenaan dipercayai merujuk kepada Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat yang dipengerusikan Khalid Abd Samad merangkap Ahli Parlimen Shah Alam.

Sehubungan itu, netizen menyelar sikap pemimpin Pas sebagai sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berdolak-dalik berhubung desakan tamatkan darurat dan tuntutan dibuka semula sidang Parlimen.

Pengguna Facebook Deen Yusop berkata, “Parlimenlah tempat nak bincang lebai oi” manakala Mahathir Kamarudin pula meninggalkan komen, “Bukan Parlimen tempat bincangkah? Lagi mahu tanya apa motif.”

Tindakan wakil rakyat PN yang tidak mempedulikan tuntutan penamatan pelaksanaan darurat sekali gus membuka sidang Parlimen juga warganet anggap sebagai membazirkan wang kerajaan.

“Berebut nak jadi ahli Parlimen tapi tak mahu pergi Parlimen jalankan tanggungjawab. Menghabiskan beras saja,” kecam Fuad Azizi.