Malaysia Dateline

Mana lebih penting bagi MB Kedah, Ford Raptor atau Covid-19?

Hairan dan ajaib bagi Pemuda AMANAH Kedah apabila Menteri Besar (MB) terlalu banyak ‘kebetulan’ berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 minggu lalu.

Ketua Pemuda AMANAH Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad, berkata, sebelum ini pemimpin Pas berkenaan telah menyarankan PKPD di Kota Setar dan meminta rakyat supaya duduk di rumah dan mematuhi SOP.

Walau bagaimanapun, realitinya, kata Mohd Ridzwan, ibarat pepatah Melayu, siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama mencuri.

“Adakah secara kebetulan kelibat beliau tersebut menunjukkan sikap keprihatinan sebagai pemimpin nombor satu negeri Kedah terhadap masalah rakyat dan masalah yang sedang negara hadapi sekarang khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Tindakan beliau jelas sama sekali tidak mencerminkan akhlak seorang pemimpin yang berpaksikan slogan kerajaan Islam iaitu ‘Nikmat Untuk Semua’ serta perbuatan merentas negeri tersebut memperlihatkan sikap ‘double standard’ dalam pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, polis telah merekodkan keterangan Muhammad Sanusi Md. Nor pada 6 Jun lalu serta enam individu lain berhubung dakwaan melanggar SOP di Autocity Juru, Seberang Perai Tengah (SPT).

Individu yang diambil keterangan ialah dua pengadu termasuk seorang wanita yang merakam video di lokasi kejadian, dua staf syarikat jualan kereta, seorang pemandu serta pengiring kepada Sanusi.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzwan berkata, sebelum ini telah pun tular isu air yang sekian lama tidak menampakkan hasil penyelesaian di Kedah dan isu balak yang semakin hari semakin galak dan tidak dapat dibendung.

“Terkini, adanya rakyat dalam kawasan Sik yang terpaksa meminta bantuan melalui laman sosial demi sesuap nasi dan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, seharusnya masalah tersebut diselesaikan melalui pelbagai kaedah demi kehidupan yang lebih selesa bagi rakyat negeri itu.

Justeru, tambahnya, Pemuda AMANAH Kedah meminta penjelasan MB mengenai perkara tersebut serta menggesa PDRM dan KKM supaya segera mengambil tindakan kompaun yang sama seperti yang dikenakan terhadap rakyat bawahan jika wujud pelanggaran yang telah ditetapkan.