Malaysia Dateline

Mana Pas dalam isu gabungan Eco World dan UEM Sunrise?

Tindakan ketua eksekutif UEM Sunrise Bhd , Anwar Syahrin Abdul Ajib, meletak jawatan selepas Sunrise Group Bhd menerima cadangan penggabungan dengan ECO World Development Bhd telah mengemparkan banyak pihak.

Menurut Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, banyak pihak menganggap penggabungan ini akan merugikan UEM Sunrise- Khazanah dan lebih banyak menguntungkan ECO World.

Katanya, ECO World juga di beritakan akan menguasai syarikat baru ini sementara UEM Sunway yang di miliki Khazanah akan kurang berkuasa menentukan hala tuju syarikat baru.

“Banyak pihak menyatakan penggabungan ini di katakan satu ‘bail out’ untuk menyelamatkan ECO World.

“Keuntungan lebih berpihak kepada ECO World yang akan menguasai gabungan baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu mendesak kerajaan Perikatan Nasional dan Khazanah mengkaji kewajaran rancangan ini diteruskan dan kenapa syarikat milik Khazanah perlu menyelamatkan ECO World.

“Umno telah lama mendabik dada sebagai pejuang pembela hak Melayu yang tidak ada tolak bandingnya.

“Pas yang mendakwa sebuah parti Islam telah juga menjadi pembela hak kerajaan Melayu seperti Umno,”katanya.

Tambahnya, Kerajaan Perikatan Nasional telah mengistiharkan diri sebagai kerajaan Melayu-Islam dan rakyat ingin melihat kerajaan ini memenuhi janji mereka untuk menjaga kepentingan syarikat kerajaan Malaysia dan kepentingan kerajaan Melayu- Islam dalam isu ini.

“Ingatlah kalau Perdana Menteri, yang mengelar dirinya Abah, mengugut hendak “merotan” rakyat yang melakukan salah laku peraturan undang undang, rakyat juga berhak menghukum Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional di peti undi atas salah laku yang mengrugikan Khazanah sebuah syarikat milik kerajaan, EPF dan juga dengan kepentingan Tabung Haji,” katanya.

UEM Sunrise Bhd di miliki oleh Khazanah, EPF dan juga kepentingan Tabung Haji serta beberapa lagi pemegang saham lain.

Pemegang saham ECO World Bhd adalah dari kalangan sektor swasta yang di beritakan sedang menanggung hutang yang tinggi.