Malaysia Dateline

Mana peranan Menteri Agama ketika jumlah kes penceraian meningkat?

Peningkatan jumlah kes perceraian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula bulan Mac 2020 hingga PKP 3.0 amat membimbangkan dan boleh mencetuskan ancaman baharu dalam sistem kekeluargaan di Malaysia.

Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional amat prihatin dengan yang sinario tersebut ternyata dalam tempoh tiga bulan 16 mac 2021 sehingga 18 mei 2021 sejumlah 6569 kes perceraian telah didaftarkan

Prihatin dengan isu ini Timbalan Pengerusi II Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional Shamsul Ma`arif Ismail mempersoalkan apakah usaha dan langkah proaktif yang telah dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan jabatan dibawahnya.

“Apakah peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bah.Hal Ehwal Agama) dan jabatan yang berkaitan dengannya mempunyai solusi yang meyakinkan dan tuntas dalam mengatasi masalah keluarga ini?” soal beliau.

Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) punca utama peningkatan ini adalah disebabkkan hilang punca pendapatan, pengangguran dan tekanan perasaan, suami isteri terpaksa duduk di rumah mencetuskan cabaran lebih besar kepada mereka sehinggakan hal-hal remeh menjadi punca pertikaian, perbalahan dan keganasan rumah tangga terhadap wanita dan kanak-kanak. Faktor kewangan, campurtangan pihak ketiga penderaan mental dan fizikal.

Beliau percaya institusi kekeluargaan yang aman dan bahagia merangkumi aspek kekuatan akidah, psikologi pasangan dan anak-anak, kewangan keluarga yang stabil, pemakanan yang sihat dan keharmonian sebuah keluarga adalah benteng utama dalam membentuk kesejahteraan negara pada masa akan datang.

“Kegagalan kerajaan mengurus institusi kekeluargaan dalam tempoh pandemik ini akan mencetuskan permasalahan keluarga dan masyarakat yang parah pada masa akan datang,” kata beliau.