Malaysia Dateline

Mana pergi 60 juta minyak masak 1kg setiap bulan, tanya Teresa

Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa menjalankan kajian menyeluruh ke atas ketirisan yang berlaku dalam skim susidi minyak masak (COSS).

Ini kerana menurut Bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok ramai warga B40 tidak dapat membeli minyak masak bersubsidi ini di pasaraya atau di kedai-kedia runcit dan mereka terpaksa beli minyak masak 2kg ke atas yang tidak bersubsidi dengan harga yang lebih tinggi.

Katanya, kenaikan harga minyak masak telah menjadi satu isu dalam kalangan pengguna dan ramai pengguna kini menuntut kerajaan memberi lebih subsidi kepada minyak masak keluaran tempatan.

“Sekiranya KPDNHEP tidak menghentikan ketirisan dalam COSS terlebih dahulu sebelum dasar subsidi baru diperkenalkan, maka ketirisan akan terus berlaku dan kesemua subsidi minyak masak yang diberi oleh kerajaan memang tidak akan dapat dinikmati oleh warga B40 malahan menjadi pembaziran dana kerajaan yang terhad sekarang,” kata beliau.

Jelasnya, kerajaan telah mensubsidikan 60 juta paket minyak masak 1 kg dalam bentuk polipek (plastik) setiap bulan bila harga Minyak Sawit Mentah (MSM) mencapai harga RM2,250 per ton di bawah skim COSS supaya harga setiap polipek boleh dijual dengan harga tetap RM2.50 dengan tujuan membantu golongan berpendatan rendah khususnya golongan B40.

“Sekiranya kita membahagikan 60 juta polipek minyak masak dengan 35 juta penduduk Malaysia (32 juta rakyat Malaysia campur 3 juta pekerja asing), setiap penduduk sepatutnya mendapat 1.7 kg minyak masak bersubsidi dengan harga RM2.50 sebulan.

“Walaupun ada ditularkan di media masa mengatakan seolah-olah minyak masak 1kg dalam polipek ini tidak berkualiti atau minyak kita semula, laporan terkini oleh MPOB jelas menunjukan minyak masak bersubsidi didalam polipek ini adalah berkualiti serta memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia,” ujarnya.

Mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap manusia seharusnya menggunakan 20kg minyak masak setahun ataupun 1.66 kg minyak masak sebulan.

Tambah Ahli Parlimen Seputeh itu, 1.7kg minyak masak yang bersubsidi di Malaysia bukan sahaja sejajar dengan cadangan WHO, ia memang cukup diberi kepada semua penduduk (termasuk pekerja asing) di Malaysia.

“Apa yang menjadi persoalan kini ialah ramai warga B40 tidak dapat membeli minyak masak bersubsidi ini di pasaraya atau di kedai-kedia runcit,” kata beliau.