Malaysia Dateline

Mana pergi peruntukan yang saya bagi untuk SSLR, tanya Baru Bian kepada Masing

Bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian hari ini menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah membiayai projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).

Menurutnya, memandangkan Dewan Parlimen kini ditutup akibat Darurat, beliau meminta supaya Menteri Kanan Pembangunan Infrastruktur dan Kerja Raya sedia ada, Datuk Seri Fadillah Yusoff mengesahkan kebenaran kenyataan daripada Masing itu.

“Saya terkejut apabila membaca kenyataan Tan Sri James Masing bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membiayai projek SSLR.

“Oleh kerana saya tidak berpeluang untuk menyoalnya di Dewan Parlimen disebabkan keadaan darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan, saya ingin meminta Fadillah untuk mengesahkan kebenaran kenyataan daripada Masing itu.

“Sekiranya benar… apakah yang telah berlaku dengan dana berjumlah RM900 juta yang telah saya peruntukkan untuk projek SSLR semasa saya menjadi menteri?

“Adakah ia telah dialihkan ke projek lain di Sarawak atau hilang ke projek bahagian lain di Malaysia kerana dana untuk Sarawak seharusnya digunakan untuk pembangunan insfrastruktur di negeri ini,” soal beliau dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan mahu Masing memberi pencerahan serta perincian mengenai sejauh mana pembiayaan projek SSLR yang dikatakan telah dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sarawak setakat ini.

“Saya telah menyatakan bahawa Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) sepanjang 425 km adalah projek dua fasa yang merangkumi Fasa 1 dari Lawas ke Kampung Pa ‘Berunut dan Fasa 2 dari Kampung Pa’ Berunut ke Long Lama. Kos bagi Fasa pertama dianggarkan RM1.2 bilion dan Fasa kedua sekitar RM4 bilion.

“Maka, adakah Sarawak akan membiayai kedua-dua fasa tersebut atau sekadar satu fasa atau hanya sebahagian sahaja?

“Malah, saya masih ingat bahawa Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan pada November tahun lalu bahawa ia sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan negeri dalam anggaran 2021 yang RM430 juta akan diperuntukkan untuk pembinaan Jalan Limbang-Lawas.

“Sekiranya ini yang dimaksudkan oleh Masing, ia adalah pernyataan yang mengelirukan kerana Jalan Limbang-Lawas bukan sebahagian daripada SSLR.

“Untuk mengelakkan kekeliruan, saya berharap beliau akan memberi penerangan mengenai jalan yang akan dibiayai oleh Kerajaan GPS nanti,” jelas beliau lagi.

Justeru, Baru juga mahu Fadillah memberi penjelasan sama mengenai perkara berkenaan.

“Semasa saya meninggalkan Kementerian, rancangan telah dibuat untuk membina SSLR dengan peruntukan yang telah diluluskan.

“Saya telah melancarkan projek tersebut pada November 2019 di Long Sebangang manakala Fadillah telah mengesahkan pada Ogos tahun lalu bahawa projek berkenaan akan diteruskan.

“Sekiranya Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan GPS telah membuat beberapa perubahan, mereka harus bersikap telus dan berkongsi maklumat dengan terperinci.

“Saya juga ingin tahu mengapa terdapat kelewatan dalam pembinaan Fasa 1 projek SSLR kerana mengikut jadual ketika saya masih menjadi Menteri, Fasa 1 ini sepatutnya bermula pada April / Mei 2020.

“Ini kerana, rakyat sudah menanti lebih 50 tahun bagi merasai kemudahan ini dan saya harap ada penjelasan dan jawapan mengenai isu ini nanti,” tegas Baru.