Malaysia Dateline

Mana pergi RM400 juta, jika masih ada gunakan untuk rakyat sekarang

Kerajaan negeri Kelantan diminta menjelaskan ke manakah wang sumbangan kerajaan Pusat bernilai RM400 juta sebelum ini.

Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Muhammad Husain berkata, jika ia belum digunakan inilah masa terbaik untuk ia digunakan kerana rakyat sangat memerlukan bantuan sekarang.

Selepas lebih sebulan negeri Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga kini angka jangkitan masih belum mencatatkan penurunan dan sebarang pakej bantuan kepada rakyat juga masih tiada.

Simpati dengan nasib majoriti rakyat Kelantan terutama dari golongan bekerja sendiri kategori B40 yang terjejas teruk pendapatan mereka akibat PKP, AMANAH Kelantan mendesak agar dana RM400 juta itu diagih kepada rakyat.

Muhammad dalam satu kenyataan berkata, inilah masanya untuk Kerajaan Pas Kelantan menggunakan wang yang diterima dari PM Tun Dr Mahathir sewaktu PH memerintah dahulu untuk kebajikan rakyat.

“PKP di Kelantan sudah hampir dua bulan, rakyat semakin susah hilang sumber pendapatan, tiada alasan lagi untuk Kerajaan Kelantan tidak mahu guna wang RM 400 juta itu beri dalam bentuk pakej bantuan kepada rakyat,” kata Muhammad.

Bagi beliau, penggunaan wang one off RM400 juta yang diterima dari zaman PH itu untuk pakej bantuan kepada rakyat kita dalam PKP ini tidak akan jejaskan kewangan negeri.

“Sampai bila nak disimpan wang yang diterima secara percuma itu?” tanya beliau kepada Kerajaan Pas Kelantan.

Jelas beliau lagi, rakyat kini sudah lama hidup susah tanpa terima sebarang bantuan walaupun sudah lebih sebulan Kelantan dikenakan PKP.

“Jadi kita minta Kerajaan Pas Kelantan usah beri alasan tiada duit, wang RM400 juta itu mungkin masih ada kerana kita tidak dengar sebarang pengumuman dari kerajaan negeri untuk guna wang itu sebelum ini, bermakna wang one off itu masih tidak terjejas,” desak beliau lagi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata surat khas mengenai bantuan berkenaan diterima daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Disember 2019 lalu sebelum wang dimasukkan pada 25 Disember.

Sehingga kini, Kerajaan Pas Kelantan masih tidak menjelaskan kedudukan wang one off itu sama ada sudah habis digunakan atau masih ada dalam simpanan.

Ketika isu pembelian kereta Mercedis untuk semua pemimpinnya berbangkit, kerajaan negeri menafikan wang itu digunakan.