Malaysia Dateline

Mana pergi Speaker, dah letak jawatan ke, tanya Kadir Jasin

Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin mempertikaikan ke mana pergi Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun apabila surat pembatalan sidang Isnin ini yang dibuat oleh Setiausaha Dewan Rakyat disalinkan kepada timbalannya.

“Tapi pasal apa Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Mohd Rashid Hasnon (orang Bersatu) yang mengarahkan Setiausaha Dewan (Nizam Mydin bin Bacha Mydin) supaya maklumkan kepada Ahli Dewan?

“Yang di-Pertua Dewan, Azhar Azizan Harun pergi mana? Tak pun disalinkan (cc) kepadanya. Dah letak jawatan atau tak setuju ka?” tanya Kadir.

Bagi beliau, tindakan membatalkan sidang Dewan Rakyat esok sememangnya dijangka.

“Tak perlu cerita panjang. Memang sudah dijangkakan yang Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin akan buat angkara macam ini.

“Dia batalkan Ordinan-ordinan Darurat Covid tanpa perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sekarang dia guna alasan Covid dan nama Ketua Pengarah Kesihatan untuk tangguh Parlimen,” kata beliau.

Bagi bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu, penyokong Mahiaddin bukan takut kepada Covid-19 sebagaimana yang dinyatakan dalam surat pembatalan sidang itu.

“Kita faham kalau dia dan konco-konco dia takut kepada Covid tapi rasanya mereka lebih takut kepada pertanyaan Ahli Dewan mengenai keingkaran mereka terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.