Malaysia Dateline

Lim Kit Siang

Mana satu pendirian rasmi Pas berhubung ucapan Krismas, soal Kit Siang

Mana satu pendirian rasmi Pas berhubung ucapan Krismas? Itu soal Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, adakah Pas berpegang kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan atau Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Hadi.

“Adakah peringatan yang dikeluarkan oleh Muhammad Khalil supaya orang Islam tidak membuat ucapan Krismas di Facebook kerana sambutan penganut agama Kristian itu bertentangan dengan akidah Islam merupakan pendirian rasmi Pas atau sekadar pandangan peribadi anak presiden parti itu semata-mata?

“Soalan ini timbul selepas Takiyuddin membuat ucapan Krismas, meskipun Khalil mengeluarkan peringatan tersebut.

Siapakah yang mempunyai kuasa lebih besar dalam Pas  adakah Setiausaha Agung Pas atau Ketua Pemuda Pas yang juga anak Presiden Pas?” soalnya dalam kenyataan semalam seprti dipetik MG hari ini.

Kit Siang juga menanyakan apa pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berhubung isu yang sama.

Menurut Ahli Parlimen Tanjung Puteri itu, ramai pemimpin Islam termasuk dalam negara dan luar telah mengucapkan selamat hari Krismas.

“Adakah mereka bukan orang Islam sejati kerana membuat ucapan Krismas?” soalnya lagi

Pemimpin Pas, katanya, sepatutnya belajar daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang berucap pada resepsi minum petang sempena sambutan Krismas kelmarin.