Malaysia Dateline

Mana semangat jiwa Malaysia? Mansuhkan permit bagi pelaut Semenanjung yang ingin kerja di perairan Sabah, Sarawak

Semangat jiwa Malaysia dipersoal apabila pelaut Semenanjung seolah-olah didiskriminasi dengan mengenakan permit pekerjaan.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen menerusi artikelnya berkata, pelaut Semenanjung harus menunggu sekitar dua hingga tiga bulan untuk mendapatkan permit kerja di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, jelasnya yang disiar dalam Utusan Malaysia hari ini, urusan berkenaan mengambil tempoh antara satu hingga dua minggu sahaja.

Dalam masa sama, katanya, pelaut Semenanjung juga terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan.

Beliau bimbang isu semasa dan sentimen dimainkan melalui halangan pelaut Semenanjung yang ingin bekerja di perairan Sabah dan Sarawak akan melebarkan lagi keretakan yang boleh mengancam perpaduan.

Sehubungan itu, Dr Izyan menyarankan antara lain supaya kerajaan memansuhkan permit kerja bagi pelaut Semenanjung yang ingin bekerja di Sabah dan Sarawak.

Pelaut Semenanjung dilihat sukar menembusi pasaran kerja di perairan Sabah dan Sarawak berbeza dengan lambakan kemasukan pelaut asing.

Dalam artikel bersama pelaut yang juga alumni Akademi Laut Malaysia (ALAM) dengan kepakaran bidang alam sekitar, kesihatan dan keselamatan marin, Kapten Mohd Faizal Ramli, diharap agar pelaut tempatan diutamakan dan mengurangkan kemasukan pelaut asing.

Kerajaan juga, saran mereka, perlu mengkaji semula imbuhan dan gaji pelaut agar setanding dengan pelaut dari negara-negara lain seperti Brunei dan Singapura serta pertimbangan yang wajar dalam mendapatkan kemudahan pinjaman bank.

Untuk rekod, ALAM di Kuala Sungai Baru, Melaka menawarkan pelbagai kursus maritim untuk lepasan sekolah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

ALAM memberikan latihan untuk mereka yang berminat dan berkelayakan untuk menceburi bidang maritim seperti menjadi pegawai dek atau jurutera marin di atas kapal saudagar kapal.

Antara program ditawarkan ialah Diploma Pengajian Nautika, Diploma Kejuruteraan Marin, Program Kelasi Dek dan Program Kelasi Enjin dengan mendapat pengiktirafan daripada STCW dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Baca juga Cincin bekas kekasih jadi ‘prop’ video muzik – Ini jawapan Ayda Jebat

Baca juga Terkilan rakan minta sijil kematian adik, lelaki kongsi sebagai peringatan