Malaysia Dateline

‘Mana suara Umno Kelantan bila Nik Amar tak nak bagi jawatan exco’

Apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membuat penegasan yang kerajaan Pas Kelantan tidak bercadang untuk melantik mana-mana Adun Umno untuk berada dalam kerajaan Kelantan atas alasan mereka masuk setelah rumah siap, ramai yang tertanya-tanya apa sikap pemimpin Umno Kelantan.

Menurut penganalisis politik Kelantan, Mohd Sayuti Omar (gambar) berkata, beliau sendiri ternanti-nanti apa-apa kenyataan balas daripada pemimpin Umno.

“Saya nanti komen daripada Pengerusi Umno Kelantan, Jazlan Yakob ataupun timbalannya ataupun Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmat.

“Tetapi sampai saat ini mereka senyap tumpas tidak terkata apa-apa. Mulut semacam kena ulcer,” tulis Sayuti menerusi facebook beliau.

Beliau bertanya, apakah pemimpin Umno Kelantan termasuk juga MPnya yang kuat menyokong Perdana Menteri iaitu Tan Sri Annuar Musa tidak ada apa-apa perasaan dengan penegasan Mohd Amar itu.

“Takkanlah kerana hendak berpakat dengan Pas untuk memastikan kemenangan kerusi masing-masing, maka semua dah hilang kata-kata untuk bersuara.

“Kalau pun nak jaga diri sendiri tetapi takkan sampai hilang rasa dan diri jadi serban seluruh tubuh,” kata beliau lagi.

Bagi Sayuti, begitulah nasib Umno apabila dipimpin oleh orang-orang berkepentingan, “menjaga diri dan periuk nasi lupa kepada zaman kegemilangan Umno dan harapan yang disangkutkan rakyat kepada mereka sejak tahun 1946 dahulu.”

Bagi beliau, orang-orang atau pejuang Umno sejati di Kelantan yang tidak pernah tunduk kepada Pas hatta sering kali dilanda kekalahan seperti Datuk Hussein Ahmad dan Tan Sri Mohamad Yaacob (Allahyarham).

“Tengku Razaleigh Hamzah sudah tidak ada benih lagi dalam Umno hari ini. Yang ada kini mungkin tumbuh dari benih kecaukan.

“Mereka patut malu kepada Inchek Ibrahim Ali, walaupun partinya masih belum tumbuh bulu pahat tetapi sudah berkokok nak tawan Kelantan,” tambah beliau lagi.