Malaysia Dateline

Sayuti Omar cabar pilihan raya diadakan di Nenggiri untuk uji politik Kelantan.

‘Mana Transformasi Parlimen?’ Penulis politik anggap MOU PH dan kerajaan sia-sia

Penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar menganggap transformasi Parlimen yang diharapkan melalui perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Pakatan Harapan dan kerajaan adalah sia-sia.

Ini susulan insiden yang menyaksikan RSN Rayer (PH-Jelutong) dihalau keluar Dewan selepas mendesak Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menjelaskan mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib RazakĀ  dibenarkan keluar negara walaupun tidak menjelaskan cukainya.

Mohd Sayuti berkata, Rayer tidak sepatutnya dihalau kerana kerajaan perlu memberi penjelasan terhadap isu dibangkitkan.

“Transformasi Parlimen yang diharapkan melalui MoU antara kerajaan dengan PH sia-sia belaka.

“Hari ini Timbalan Speaker (Datuk Seri) Rashid Hasnon menggunakan kuasanya untuk halau MP Jelutong, RSN Rayer keluar Dewan kerana dikatakan mengganggu penggulungan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul.

“Rayer meminta Zafrul jelaskan kenapa Najib Razak yang tidak bayar cukai tidak disenarai hitamkan dan dapat bergerak bebas ke luar negara.

“Apa dibangkitkan Rayer suatu perkara mustahak yang perlu dijelaskan bukannya dia dihalau. Tampaknya transformasi Parlimen tidak berlaku,” ciapnya di Twitter hari ini.

Rayer diarahkan keluar dari Dewan Rakyat hari ini kerana tidak mengendahkan arahan Timbalan Speaker, Rashid Hasnon.

Perdebatan hangat tercetus apabila Rayer bertanya kepada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul mengapa Najib dibenarkan ke Singapura walaupun tidak menjelaskan cukainya.

Sedangkan katanya, peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam, tidak dibenarkan keluar negara jika tidak menjelaskan pinjaman.