Malaysia Dateline

Mana vaksin untuk petugas media, tanya kelab media

Dalam sidang media 28 April lalu, Khairy Jamaluddin mengumumkan kira-kira 1,500 petugas media bakal menerima vaksinasi pada bulan Mei, bagaimanapun sehingga kini masih tiada khabar berita tentang perkara ini.

Kelab Media Putrajaya dalam kenyataan berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebagsaan (PICK) sudah masuk Fasa Kedua sedangkan petugas media yang digelar petugas barisan hadapan belum lagi menerima pelalian.

Katanya, lebih membimbangkan ketika PICK berada dalam Fasa Kedua sudah tentu pelbagai program dan acara menteri dan kementerian yang perlu dihadiri kadang-kala secara fizikal.

“Sekali lagi kami dijanjikan pemberian vaksin dikatakan pada Jun tetapi apa jaminan sebelum bulan ini berakhir kami akan menerima pelalian yang diperlukan.

“Mungkin kedengaran mudah atau seperti kami melebih-lebih berbanding orang lain, tetapi jangan lupa kudrat dan kreativiti kamilah yang dituntut untuk melaporkan kepentingan menjaga SOP, kekal dirumah, kebaikan rakyat mendapatkan vaksinasi,” katanya.

Amat malang, bagi petugas media yang terpaksa mengetepikan keselamatan diri ketika bertugas di lapangan terus menerus terpaksa menunggu dan merayu untuk diberikan vaksinasi sedangkan ia sudah dijanjikan.

“Jangan lupa antara kami juga sudah bekeluarga atau tinggal bersama-sama keluarga, dan berbanding kebanyakan sektor kami juga terpaksa keluar untuk bekerja terutama jurugambar serta jurukamera,” katanya.

Justeru, petugas media sangat berharap CITF dan kerajaan serius dalam memberikan pelalian kepada mereka supaya dapat terus berbakti dan membawa agenda kerajaan mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini.