Malaysia Dateline

Manakah tindakan berkesan membendung penularan COVID-19?

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia memaparkan dalam sesawangnya graf yang menunjukkan secara jelas arah peningkatan penularan Covid-19 sekali lagi di Malaysia. Ada juga persaingan antara negeri-negeri tidak berjiran sekarang, khususnya di antara Selangor dan Sarawak beberapa hari ini, selain Kelantan juga menunjukkan lonjakan.

Pesoalannya sekarang, apakah lagi yang mampu dilakukan oleh kerajaan untuk memimpin negara keluar dari krisis ini? Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pada 17 Mac 2021 yang PKP secara menyeluruh tidak akan dikenakan lagi bagi menangani penularan Covid-19.

Namun gelombang baru yang terlihat bakal melanda menimbulkan kerisauan bahawa belum ada lagi strategi mampan sebagai pengganti PKP. Rakyat disyorkan malah diarah mematuhi SOP demi menghindari jangkitan, walaupun ramai diancam denda hukuman yang perit, Covid-19 tetap menular!

Tidak dapat dinafikan satu-satunya benteng berkesan yang menjadi sandaran harapan rakyat adalah wira-wira ‘frontliners’, khususnya para profesional dan pasukan sokongan kesihatan awam kita di bawah kepimpinan jitu TS Dr Noor Hisham Abdullah.

Hasil usaha mereka, kadar kematian dalam kalangan yang dijangkiti Covid-19 di Malaysia, sekitar 0.37%, adalah antara yang terendah di dunia pada masa ini. Namun, kejayaan ini pasti tercabar kiranya usaha membendung penularan tidak diberi perhatian sehingga gelombang baru pula melampaui kapasiti jumlah pesakit kritikal yang dapat dirawat.

Keyakinan terhadap sistem dan kepimpinan profesional perubatan kita malangnya tidaklah meleraikan tanda-tanya rakyat terhadap keikhlasan serta keupayaan kepimpinan politik negara dalam menangani krisis ini, baik di pihak kerajaan mahupun lawannya.

Pada pihak pembangkang, hanya segelintir yang memberi penekanan terhadap program vaksin kerajaan atau penjagaan SOP, seperti mengenakan pelitup muka. Malangnya, terlalu ramai terlihat lebih sibuk berpolitik dari menumpukan kepada usaha penyelesaian krisis pandemik ini.

Di pihak kepimpinan kerajaan pula, kredibilitinya kini amatlah tercabar dalam isu pengurusan Covid- 19 walau sebelum senario peningkatan jangkitan seperti di atas.

Ini terlihat dengan tahap pendaftaran vaksin Covid-19 yang amatlah mengecewakan, terutama dalam kalangan warga berumur, walaupun merekalah kumpulan paling berisiko menempah maut dari penyakit ini.

Sudahlah kerajaan agak lewat memulakan program pendaftaran vaksin, tetapi kini perlaksanaan vaksin terlihat perlahan terutama berbanding dengan negara jiran Indonesia (seperti di bawah) yang lebih mencabar logistiknya.

Indonesia berjaya memulakan program vaksinnya pada bulan Januari 2021 dan kini telah memberikan dos pertama vaksin kepada 9.4 Juta rakyatnya, yakni 3.5% dari penduduknya, berbandingkan negara kita di mana cuma sekitar 550 Ribu atau 1.7% penduduk sudah menerima dos pertama tersebut.

Menariknya, pada 7 Januari 2021, seramai 46 pakar kesihatan Malaysia telah pun mengutuskan surat terbuka kepada TS Muhyiddin dengan 10 saranan bagi menambah-baik pengurusan pandemik ini.

Surat tersebut tular dan atas kekuatan hujah-hujah serta para penghujahnya, Perdana Menteri bersetuju menubuhkan Kumpulan Penasihat Kesihatan dan Saintifik Covid-19.

Namun sehingga kini, Kumpulan Penasihat tersebut tak terlihat jelas pun walau bayangnya, padahal pelbagai Jawatankuasa lain pula terlihat lebih rancak khabarnya, seperti Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada YAB PM!

Walaupun Darurat diisytiharkan bermula 11 Januari 2021 atas sebab krisis Covid-19, pengabaian terhadap usaha-usaha tertumpu bagi menangani krisis ini benar-benar menjejaskan kredibiliti kerajaan sekaligus sambutan rakyat terhadap inisiatif yang penting, seperti pendaftaran vaksin dan pematuhan SOP.

Bayangkanlah hasilnya jika Kumpulan Penasihat Kesihatan dan Saintifik bagi menangani Covid-19 benar-benar terbentuk dengan mandat yang jelas sejurus setelah Darurat diumum? Setidak-tidaknya kredibiliti kerajaan mungkin lebih terjaga, malah meningkat lagi!

Mungkinkah kerajaan Malaysia kini menghadapi krisis kredibiliti juga akibat pelbagai pertikaian yang timbul dari perilaku anggota kabinetnya sendiri? Tularan hashtag #AntaraDuaDarjat sering kembali di sosial media apabila ada kepimpinan negara yang terbukti melanggar SOP padahal tidak pula dihukum mahupun mengambil tanggungjawab ke atas kesalahan mereka.

Kurangnya amalan Kepimpinan Melalui Teladan oleh pemimpin-pemimpin ini tidak membantu meyakinkan Rakyat akan keikhlasan mahupun kepentingan SOP dalam menghindar penularan.

Akhir kata, kredibiliti kepimpinan penting bukan sekadar kerana kita perlukan begitu ramai rakyat, sekitar 80%, untuk menerima vaksin bagi memastikan ia berkesan menghalang lebih banyak kematian dari Covid-19.

Norma Baru merupakan satu pembudayaan semula yang haruslah diterima oleh seluruh rakyat, terutama jika kita menerima hakikat ini mungkin bukanlah pandemik terakhir yang kita akan hadapi. Pembudayaan tidak akan berlaku cuma melalui pengesyoran berkali-kali agar SOP dipatuhi. Ia memerlukan kepimpinan yang ikhlas dan berkredibiliti untuk diteladani Rakyat.