Malaysia Dateline

Mandat rakyat perlukan seorang PM yang mampu selesaikan masalah, bukan tempoh masa

Jawatan Perdana Menteri adalah soal negara dan bukan soal individu atau  parti dan  Negara memerlukan seorang Perdana Menteri yang mampu menyelesaikan masalah bukan sebaliknya, kata bekas Senator Mohammad Ezam Mohd Nor.

Beliau berkata dengan kemenangan blok pembangkang pada PRU14 lepas  kerana mendapat mandat memerintah setelah Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad  menerajui pembangkang dan diisytiharkan sebagai calon Perdana Menteri.

“Sejarah juga membuktikan hakikat cubaan blok pembangkang sebelum ini dan penawaran calon PM selain Tun Mahathir sebelum ini gagal memperolehi mandat rakyat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru beliau berkata cadangan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-2,, pada Ahad, lepas agar Tun Dr Mahathir Mohamad menghabiskan tempoh sepenggal jawatan sebagai Perdana Menteri adalah wajar.

Beliau berkata ini menunjukkan mandat yang diberikan rakyat didalam PRU 14 yang lalu adalah atas harapan dan keyakinan rakyat dan pengundi terhadap keupayaan Tun Mahathir menyelesaikan masalah negara yang semakin meruncing pada masa itu.

Mohamaad Ezam berkata, mandat rakyat itu adalah untuk menyelesaikan masalah negara, bukan soal tempoh masa jawatan PM atau penganti PM.

“Ianya soal negara.Masalah negara yang perlu diselesaikan.

“Tumpuan harus kepada membantu PM menyelesaikan masalah negara kerana itulah harapan rakyat.Selagi PM ini mampu bekerja selesaikan masalah negara ini dan diberi kuasa oleh Allah dan kuasa yang sah mengikut perlembagaan negara maka kita harus memberi tumpuan membantu beliau menjalankan kerjanya.

“Lebih2 lagi setelah kita tahu masalah yang dihadapi negara lebih besar dari anggapan kita sebelum ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan agar semua pihak berhenti daripada mempersoalkan mengenai tempoh jawatan PM ini.

“Ianya bukan sahaja tidak relevan malah tidak bertanggungjawab.

“Tanggungjawab seluruh pemimpin PH hari ini adalah membantu PM hari ini selesaikan masalah negara hari ini.

“Pokoknya, rakyat mahu seorang PM yang mampu bekerja dan selesaikan masalah mereka dan negara.Seorang PM mesti mampu dan dilihat mampu selesaikan masalah negara.

“Itulah hakikatnya rakyat mengangkat Tun Mahathir menjadi PM hari ini walaupun buat kali kedua.

“Mahathir tentunya tidak sempurna tetapi dia dilihat mampu selesaikan masalah negara berdasarkan rekodnya.

“PM selepas ini juga perlu diangkat berdasarkan atas asas yang sama.Apakah dia mampu dan dilihat mampu selesaikan masalah negara?
“Atau dilihat mengundang lebih banyak masalah kepada negara?Ini persoalan pokok.Bukan soal perjanjian antara individu dan antara parti sahaja yang harus menjadi asas pilihan.

“Dan bagi rakyat dan negara, asas paling utama seorang PM adalah samada dia mampu dan dilihat mampu menyelesaikan masalah negara.Negara perlu seorang PM yang mampu menyelesaikan masalah bukan sebaliknya,” ujarnya.