Malaysia Dateline

Manfaat Gedung Makanan Negara bantu generasi Felda terkesan

Akibat kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan digesa agar memanfaatkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) dan Gedung Makanan Negara (GMN) bagi membantu generasi Felda yang terjejas.

Generasi kedua Felda Sungai Sibol, Ridhuan Esa, berkata kedua-dua program tersebut mampu membantu peneroka generasi kedua yang terjejas akibat pelaksanaan PKP.

Menurutnya, bantuan kerajaan berbentuk ‘one-off’ serta penangguhan pemotongan bayaran kembali dan pinjaman sosial tidak akan bertahan lama serta perlu alternatif dalam mencari sumber ekonomi baru.

“PPP dibentang melalui ‘kertas putih Felda’ pada 10 April 2019 dengan peruntukan RM 250 juta setahun dan jumlah keseluruhan untuk 4 tahun berjumlah RM 1 bilion.

“Dilaporkan telah lebih 20 program PPP sedang dijalankan di rancangan-rancangan Felda yang terpilih. GMN pula telah dilancarkan sejak 2009 dengan peruntukan RM 750 juta dan Felda telah pun melalukan penjenamaan semula sejak 2019 bagi mengstruktur semula program yang sedang berjalan.

“Dalam menghadapi kesan ekonomi kerana penularan wabak Covid-19 serta PKP adalah baik bagi Felda untuk menjalankan kedua program ini secara menyeluruh,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ridhuan turut berpendapat langkah yang perlu diambil oleh kerajaan adalah dengan mempercepatkan perluasan program PPP dan GMN di rancangan-rancangan Felda.

Tambahnya, program itu perlu melibatkan Generasi ke 2 Felda yang terkesan sama ada cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja atau tidak dapat menjalankan perniagaan harian.

“Selain itu, kedua program ini mampu untuk mengumpulkan data-data warga Felda yang terkesan melalui MPKK dan pengurusan peringkat rancangan.

“Data ini boleh digunakan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja bagi kedua-dua program ini. Selain itu juga ia boleh diperluas dengan pemasaran produk PPP dan GMN di kedai D’MART atau melalui Lazada yang telah pun membuka perkhidmatan bagi produk dan penghantaran hasil tani.

“Kelangsungan warga Felda amat penting bagi menghadapi PKP dengan kesan ekonomi yang akan berpanjangan. Diharapkan PPP serta GMN tercapai objektif dalam memberi manfaat ekonomi kepada peneroka dan Generasi Felda dalam menghadapi PKP,” jelasnya lagi.