Manfaat teknologi, LKIM saran nelayan pasar produk atas talian

Manfaat teknologi, LKIM saran nelayan pasar produk atas talian

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyambut baik platform jualan ikan atas talian yang dikendalikan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) melalui Nekmatbiz sebagai inisiatif memasarkan produk mereka secara meluas.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, teknologi terkini perlu dimanfaatkan oleh Persatuan Nelayan dalam meningkatkan hasil tangkapan ikan dan meluaskan pasaran produk mereka.

Katanya, penggunaan teknologi dalam industri perikanan mampu meningkatkan pendapatan nelayan serta menarik minat belia menceburi industri perikanan.

“Persatuan Nelayan perlu memanfaatkan teknologi yang ada pada hari ini untuk meluaskan pasaran produk mereka.

“Dengan keadaan di mana pengguna lebih gemar membeli barang keperluan secara atas talian, Persatuan Nelayan perlu mengambil peluang dalam memasarkan produk mereka melalui medium tersebut.

“Saya menyambut baik platform jualan ikan atas talian yang dikendalikan oleh Nekmat melalui nekmatbiz.com.my yang dapat memasarkan produk mereka dengan lebih luas lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan Nekmat kali ke-34 di Seri Hotel Pacific, Kuala Lumpur, yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, semalam.

Beliau turut menyaksikan tandatangan memorandum persefahaman (MoU) mengenai pelaksanaan Sistem Ramalan Lokasi Ikan (FSI System) antara LKIM; Jabatan Perikanan; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESSTECC) serta Nekmat.

Dalam perkembangan sama, Faiz berkata, masalah kenaikan harga disebabkan orang tengah dapat diatasi apabila bekalan ikan segar dan murah dapat terus diterima oleh pengguna melalui pengenalan Nekmatbiz.

Jelasnya, FSI System adalah teknologi yang menganalisis kondisi laut berdasarkan imej yang diambil daripada satelit yang kemudiannya dianalisis bagi mendapatkan ramalan lokasi ikan dan dihantar semula kepada nelayan melalui sistem penyebaran maklumat seperti GPS, telefon satelit, dan SMS.

Turut hadir, Pengerusi Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi; Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan; Ketua Pengarah LKIM, Jamaluddin Othman; dan Pengerusi Nekmat, Abdul Hamid Bahari.