Manfaatkan bahasa asing usah sampai abai bahasa sendiri

Manfaatkan bahasa asing usah sampai abai bahasa sendiri

Perihal pentingnya menguasai bahasa asing, semua pejuang bahasa mengakui keperluan dan kepentingan bahasa asing, termasuk bahasa Inggeris kerana hal itu tuntutan agama juga.

Nabi mengupah sahabatnya yang menerjemahkan bahan daripada bahasa Ibrani ke dalam bahasa Arab. Pejuang bahasa tidak pernah menjadi sombong dan hipokrit kerana mereka tetap menggunakan bahasa asing bagi keperluan tertentu, terutama di luar negara.

Pejuang bahasa hanya meminta bahasa Melayu dihormati sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Hal itu pun terkandung dalam syariat, sebagaimana dalam ayat suci seperti ayat 22 surah al-Rum dan ayat 4 surah Ibrahim.

Bangsa-bangsa bukan Islam pun secara tabii melaksanakan “syariat” dalam hal bahasa, dengan menjadikan bahasa mereka sebagai wasilah pembangunan tamadun.

Mereka pun memanfaatkan bahasa asing, tetapi tidak sampai menjadikannya lebih utama daripada bahasa mereka sendiri, dan mereka maju, tidak pula mundur kerana semata-mata membangun dalam acuan sendiri, termasuk dalam hal bahasa.

Perihal cadangan penambaikan penguasaan bahasa Inggeris, terperdayalah sesiapa yang percaya bahawa pejuang bahasa tidak berbuat sesuatu. Sewaktu hamba KP DBP, sebuah jawatankuasa ad hoc yang dianggotai oleh pakar pedagogi, termasuk Prof. Emeritus Isahak Haron telah dibentuk dan pejuang bahasa menyediakan cadangan penambahbaikan pengajaran bahasa Inggeris.

Modul Prof. Isahak telah terbukti berkesan, tetapi barangkali kerana KPM terlebih yakin akan modul mereka sendiri, maka sumbangan kami pejuang bahasa tidak ketara pada masyarakat. Maka itu dalam setiap kertas kami, senantiasa kami tegaskan keperluan usaha meningkatkan bahasa Inggeris dalam kerangka mata pelajaran itu sendiri, bukan melalui mata pelajaran lain.

Perihal ugutan, jelas pejuang bahasa tiada memiliki senjata apa pun untuk mengugut dan menggugat kerajaan. Semua hujah diberikan dengan sandaran ilmu dan kajian.

Keputusan berarak di jalan raya dan memikul Keranda 152 pada tahun 2009 tidak lain cetusan rasa kecewa atas tidak pekanya pemerintah kepada suara pemikir, ilmuwan, sasterawan dan budayawan tentang salah satu tonggak negara, iaitu bahasa negara.

Perarakan 2009 ke Istana Negara bukan rusuhan, tetapi untuk menyampaikan hasrat kepada YDP Agong sebagai payung negara tempat rakyat bernaung, sesudah pentadbir negara tidak peduli akan salah satu tonggak negara itu, iaitu bahasa negara.

Syariat meletakkan landasan yang jelas tentang perlunya umara’ dan ulamak berganding bahu dalam mengurus negara. Peranan dan tanggungjawab pemikir, ilmuwan, bahasawan, sasterawan, budayawan dan lain-lain perlu dihormati dan dihargai kerana kepentingan mereka hanya berkaitan dengan keutuhan negara.

Mereka bukan mengejar ghanimah. Menyanggah dasar dan program tertentu yang bercanggah dengan dasar negara tidak wajar ditafsirkan sebagai penentangan kepada kerajaan kerana banyak aspek lain yang disokong oleh mereka.

Marilah kita berfikirian jernih dalam pengupayaan membentuk negara yang bermaruah dan bersendikan jati diri di samping mengejar kemajuan lahiriah.

Harapan agar cendekiawan “membijakkan” kerajaan sungguh unggul, namun kerajaan sendiri perlu bersedia untuk “dibijakkan”, dengan maksud bersedia mendengar dan menimbangkan perkataan bijaksana daripada para pemikir. Berhentilah daripada berpegang pada kepercayaan bahawa kuasa politik penentu segalanya.

*Penulis merupakan Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia.