Malaysia Dateline

Manfaatkan jentera kerajaan, gerakkan agenda komunikasi

Kerajaan hari ini berdepan cabaran terbesar dalam memanfaatkan peranan jentera kerajaan bagi menggerakkan agenda komunikasi di peringkat kerajaan dan parti komponen.

Timbalan Pengarah Biro Komunikasi Strategi AMANAH Nasional, Ahmad Sabki Yusof berkata, dalam memperkenal imej Pakatan Harapan (PH), jentera komunikasi perlu digunakan untuk menyebarkan agenda reformasi yang dilaksanakan kerajaan kepada pengundi.

Namun katanya, faktor yang memperlihatkan peranan komunikasi seakan lumpuh, apabila hampir 80 peratus pimpinan dalam parti mula bekerja dalam struktur kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) yang lalu.

“Agenda komunikasi yang digerakkan oleh parti sebelum ini lumpuh kerana hampir 80 peratus mereka yang bekerja dengan parti, bertugas dalam kerajaan.

“Pada masa sama bila kita masuk kerajaan, kita harap jentera kerajaan bantu menjalankan agenda komunikasi dan penerangan bagi pihak kerajaan, malangnya ia tidak dapat digerakkan dengan berkesan pada satu tahun lepas.

“Pada masa itu kita belum dapat menguasai sepenuhnya proses dan jentera untuk kita laksanakan agenda komunikasi kerajaan secara berkesan. Ini lah cabaran dalam memperkenal ‘brand’ PH,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Retreat Komunikasi AMANAH Nasional 2019 (REKOM’19) dan Dialog bersama Pemimpin AMANAH, di Hotel Pulse Grand, Putrajaya hari ini.

Tambah Sabki yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), kerajaan turut berdepan cabaran membawa pemikiran rakyat dalam menangani soal sentimen agama dan kaum yang menjadi laungan parti pembangkang.

Jelasnya, sejak dahulu kerajaan sudah diasak dengan naratif Melayu dan Islam yang dimainkan oleh komponen pembangkang yang dikuasai dua parti Melayu besar dalam negara itu.

“Dari awal kita sebagai kerajaan, kita telah diasak dengan isu perkauman dan agama. Malah, pembangkang turut mempersoalkan pelantikan Menteri Kewangan dan Peguam Negara yang bukan Melayu.

“Isu perkauman dan agama menjadi suatu isu yang ampuh untuk pembangkang menyerang kerajaan kerana mereka mewakili kelompok pengundi Melayu secara natural. Kita kena tahu bagaimana nak bawa naratif untuk menjawab isu perkauman dan agama yang dimainkan oleh pembangkang,” ujarnya.