Malaysia Dateline

Manfaatkan kementerian untuk kepentingan rakyat

Menteri AMANAH digesa untuk memanfaatkan sepenuhnya lima kementerian yang dikuasai parti itu demi kepentingan rakyat.

Perwakilan Kedah, Ustaz Nasir Zakaria memberitahu rakyat tidak menyenangi beberapa hal remeh ketika mereka berdepan dengan realiti sukar dengan menjadikan isu berkaitan Kementerian Kesihatan sebagai contoh.

“Kadang-kadang isu remeh-temeh kita bawa kepada rakyat, melibatkan isu rokok (larangan merokok di kedai makan), kita mendapat maklum balas yang sangat negatif daripada akar umbi tentang isu ini.

“Ketika rakyat beratur berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan hospital kita bangkitkan isu ini, sebahagian daripada kita anggap ia tidak remeh.

“Kebanyakan rakyat, mahukan isu katil tak cukup, berdiri di wad kecemasan sebagai isu pokok yang perlu diselesaikan,” katanya ketika membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional 2019 AMANAH, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.

Ustaz Nasir yang juga bekas Ahli Parlimen Pas Padang Terap itu turut menegur peranan media rasmi AMANAH iaitu akhbar Mingguan Amanah dan Media Oren dalam menyebarkan maklumat kepada semua kawasan parti itu.

Mingguan Amanah tapi sampai Padang Terap, tak ada, tidak sampai. Kita menegaskan AMANAH juga perlu menguasai media sosial.

“Kita menang dulu tidak bergantung kepada TV3 dan RTM, malah Umno dan BN yang menggunakan RTM, TV3 mereka masih kalah. Maksudnya media sosial menjadi medan pertempuran di kalangan pengundi muda,” tegasnya.

 

Ustaz Nasir Zakaria

Beliau turut mahu lidah rasmi AMANAH mengangkat pemimpin parti sendiri agar setaraf dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perkasakan Media Oren untuk menonjolkan pimpinan kita supaya setara, walaupun kita kata kepimpinan kita kolektif dalam PH, kita amalkan kepimpinan kolektif.

“Jangan nampak Dr Mahathir, Anwar sahaja. Kita nak angkat kepimpinan kita. Abang Mat (Mohamad Sabu) kita supaya setara bercakap dalam konteks Islam dan isu-isu bersifat Islam,” katanya.

Sehubungan itu,  Ustaz Nasir menasihatkan pemimpin AMANAH di Putrajaya memberi perhatian dalam aspek kerja-kerja parti mengimbangi kerja-kerja kerajaan.

“Kita belum masih belum berada di hadapan. Jangan terlalu sibuk debgan kerja-kerjaa kerajaan sahaja.

“Manfaatkan agensi-agensi dari LKIM, YADIM, NAFAS, NEKMAT sampak MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung).

“Sekarang lima kampung dapat elaun RM500. Komposisi MPPK sekarang pun datang dari pembangkang. Apa sudah jadi?” soalnya lagi.