Malaysia Dateline

Manfaatkan khidmat Nekmatbiz untuk bekalan hasil laut dalam tempoh PKP

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil menyarankan orang ramai supaya memanfaatkan khidmat Nekmatbiz bagi mendapatkan bekalan hasil laut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa sekarang.

Katanya, melalui program Nekmatbiz penghantaran ikan segar beku (QFish) dibuat terus ke rumah di mana pelanggan di Lembah Klang boleh menempah ikan melalui laman talian www.nekmatbiz.com.my.

Dalam kenyataannya semalam, Faiz turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) yang mengambil tanggungjawab di barisan hadapan membekalkan makanan (hasil laut) dalam tempoh PKP.

“Produk QFish adalah ikan rakyat seperti kembung, selayang dan sebagainya yang segar dan dijual murah bagi mencapai objektif mengurangkan kos sara hidup rakyat,” kata Adun Permatang Pasir itu menerusi Facebooknya.

Jelas Faiz, program Nekmatbiz ini telah dirasmikan mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 30 Julai 2019.

Ujarnya, dengan keperluan mendesak rakyat sekarang untuk mendapat bekalan ikan segar, murah dan selamat, program yang diperkukuhkan Nekmat ini cukup baik dan mencapai objektif memajukan industri perikanan yang lebih kreatif dan berdaya saing.
Katanya, penggunaan teknologi dan inovasi dalam memodenkan nelayan berjaya dilaksanakan oleh Nekmat.

“Dengan pengukuhan program Nekmatbiz ini, diharapkan persatuan nelayan peringkat negeri dan kawasan yang berkeupayaan dari segi bekalan, kemudahan dan tenaga buruh seharusnya menjalankan projek ekonomi yang sama supaya program ini diperluaskan ke seluruh negara.

“Di samping itu, ia juga dapat mengelak keciciran hasil tangkapan di samping mampu menjana pendapatan dan peluang pekerjaan kepada belia nelayan dari sudut ekonomi gig sepertimana yang dijalankan ‘Grabfood’ dan ‘Foodpanda’.

“Usah risau tentang modal perniagaan. Dana khas RM100 ribu sehingga RM200 ribu yang disediakan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi hendaklah dimanfaatkan oleh persatuan nelayan.

“Sahut cabaran untuk mempelbagaikan projek perniagaan dan pada yang sama meringankan beban rakyat dalam situasi yang kritikal ini. Cabaran ini adalah peluang bagi mempromosikan ikan QFish di samping perniagaan baharu ini kepada rakyat setempat,” kata beliau.

Semalam, Bernama melaporkan, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ikan sepanjang tempoh PKP, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menyediakan perkhidmatan Jualan Ikan Segar Beku (QFish) dan makanan laut dengan menghantarnya ke rumah pelanggan melalui pesanan kepada ‘runner’ di bawah selian persatuan itu.

Pengerusinya Abdul Hamid Bahari berkata, buat permulaan perkhidmatan di bawah program Nekmatbiz itu disediakan sekitar Lembah Klang sahaja.