Malaysia Dateline

Manfaatkan minat Korea Selatan terhadap Asean teroka industri teknologi tingg, kata Duta

Duta Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda menggesa rakyat Malaysia agar merebut peluang untuk memanfaatkan Dasar Selatan Baharu (NSP) Korea Selatan bagi menarik pelaburan serta meneroka industri canggih dan berteknologi tinggi.

Beliau berkata di bawah NSP, Korea Selatan mahu meletakkan hubungan ekonominya dengan ASEAN setara dengan empat kuasa besar dunia lain iaitu Amerika Syarikat, China, Jepun dan Rusia.

Dasar itu yang diumumkan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada November 2017, membayangkan lebih banyak kerjasama antara negara tersebut dan ASEAN dengan sasaran nilai perdagangan US$200 bilion menjelang 2020.

Korea Selatan menyasarkan hubungan ekonomi lebih kukuh dengan ASEAN untuk mengurangkan pergantungan besarnya kepada pasaran besar dan merangsang pemacu pertumbuhan baharu – yang membawa kepada peningkatan perdagangan hampir 8.0 peratus kepada US$160 bilion pada 2018.

Ini telah menjadikan rantau ASEAN sebagai rakan dagang kedua terbesar Korea Selatan.

Begitu juga, Mohd Ashri berkata penglibatan Korea Selatan dalam Dasar Pandang Ke Timur negara sejak 1982 telah membawa kepada peningkatan pelaburan dari negara tersebut ke Malaysia.

“Di bawah Dasar Pandang Ke Timur 2.0, Malaysia berharap dapat memanfaatkan kekuatan Korea Selatan dalam teknologi canggih dan inovasi yang termasuk industri baharu, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, robotik serta pembuatan pintar dan industri aeroangkasa,’’ katanya kepada pemberita Malaysia, di sini, hari ini.

Pada 2018, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan meningkat sebanyak 7.2 peratus kepada US$17.98 bilion (RM72.60 bilion). Korea Selatan adalah rakan dagang ke-8 terbesar Malaysia di peringkat global dan Pelaburan Langsung Asing ke-13 terbesar pada 2018.

Malaysia, sebaliknya, merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Korea Selatan bagi tahun yang sama.

Selain itu, Malaysia juga menerima peningkatan kedatangan pelancong dari Korea Selatan.

Pada 2018, negara merekodkan kedatangan 616,783 pelancong dari Korea Selatan, peningkatan 27.3 peratus daripada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh Januari sehingga Julai 2019, sejumlah 393,177 pelancong dari Korea Selatan melawat Malaysia yang merupakan peningkatan 10.3 perarus berbanding tempoh yang sama pada 2018.–BERNAMA