Malaysia Dateline

Manfaatkan sektor tani sebagai solusi isu anak muda hilang pekerjaan

Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia, Datuk Mazlan Aliman mengingatkan masyarakat tani agar terus bergerak kehadapan dan memposisikan diri dalam membina rangkaian (networking) di seluruh negara.

Beliau berkata, kerjasama strategik dengan kerajaan Pusat dan negeri khususnya agensi berkaitan, perlu diperkukuhkan berikutan situasi wabak Covid-19 yang kini telah menjejaskan ekonomi rakyat Malaysia.

Menurutnya, sektor pertanian perlu dianggap sebagai solusi kepada isu kehilangan pekerjaan, bahkan sudah seharusnya sektor itu melibatkan anak muda agar dapat melahirkan petani moden berteknologi tinggi.

“Penglibatan anak muda dalam sektor pertanian tidak sampai 15 peratus dan amat rendah.

“Persepsi bahawa pertanian adalah memenatkan, kotor dan tidak lumayan kekal sebagai pegangan apatah lagi motivasi di peringkat sekolah lebih tertumpu cita-cita sebagai seorang profesional, berbanding kerjaya petani yang dikatakan tiada masa depan.

“Justeru, melahirkan petani moden berteknologi tinggi harus di mulakan oleh golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Pada masa sama, Mazlan yang mewakili Pertubuhan Gerak Tani itu menegaskan, peranan kerajaan melalui insentif modal dan kerenah birokrasi yang membosankan juga harus diatasi segera.

Tambahnya, jika kombinasi antara agensi kerajaan, ngo-ngo dan usahawan berjaya di sinergika, maka kehilangan pekerjaan dan keberdayaan anak muda dalam sektor pertanian dapat diatasi biarpun memakan masa.