Mangsa banjir besar Kelantan rayu dana bantuan rumah

Mangsa banjir besar Kelantan rayu dana bantuan rumah

Orang ramai dirayu menghulurkan sumbangan bagi membantu pasangan warga emas ini memiliki kediaman lebih selesa

Ketika umat Islam sedang menghitung hari menyambut ketibaan bulan mulia Ramadan, Ab Wahab Ibrahim, 64, nun di Kuala Krai, Kelantan masih menanti penuh teka-teki.

Sudah tiga tahun beliau menunggu kediaman yang selesa untuk berlindung daripada panas dan berteduh daripada hujan.

Ab Wahab IbrahimNamun, berlalunya banjir besar yang juga dipanggil Bah Kuning pada 2014 lalu seolah-olah dirinya serta isteri, Siti Rohani Mat Jusoh dilayan seperti orang asing.

Lantaran itu, mereka tidak mempunyai banyak pilihan melainkan tinggal di pondok dengan dinding dan bumbung yang tidak sempurna.

Sudah tidak lagi bekerja, Wahab hanya mampu mengutip dan mengumpulkan sisa rumah lama termasuk yang asalnya milik jiran untuk membina tempat berlindung yang didiami sehingga hari ini.

Tempias ketika hujan bertandang menambahkan lagi derita kepada Ab Wahad yang menghidap penyakit buah pinggang manakala isterinya mengalami sakit jantung.

Bukan tiada anak yang membantu tetapi enam anak mereka dengan lima daripadanya perempuan, berpendapatan rendah dan menanggung keluarga masing-masing.

Puas penduduk Kampung Manek Urai Lama itu memohon bantuan rumah baharu. Namun, alasan pihak kerajaan negeri sebahagian tapak rumahnya terletak di atas rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Siti Rohani Mat JusohKerajaan Persekutuan juga entah mengapa terlepas pandang. Pendek kata, mereka merupakan keluarga yang telah tercicir daripada menerima bantuan penempatan pasca banjir besar itu.

Untuk rekod, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakub pada Januari lalu dilapor berkata, kerajaan negeri telah menyiapkan 68 peratus iaitu lebih 360 unit rumah bagi mangsa banjir.

Nasib pasangan warga emas terbabit turut mendapat perhatian Ketua Cawangan Pas Kederong Manek Urai Lama, Aziz Haron. Beliau telah mencuba pelbagai ikhtiar dan rayuan permohonan tetapi masih tidak berhasil.

Sehinggalah terdetik untuk Aziz menghubungi pemilik radio internet Pedas FM, Rozita Haron bagi memastikan kehidupan Wahab dan isterinya lebih selesa.

Dengan kerjasama Kkrai FM, kedua-dua radio internet itu sedang berusaha mengumpulkan dana sebanyak RM20,000 dalam bentuk tunai bagi tujuan untuk membeli bahan binaan dan upah tukang rumah untuk membina seunit kediaman bagi pasangan tersebut.

Hasil tinjauan pihak Pedas FM pada 6 Mei lalu mendapati keperluan Wahab dan isterinya untuk memiliki kediaman yang selesa begitu mendesak.

“Di Manek Urai Lama, kalau menuju ke rumah pasangan warga emas itu, kita akan menempuh kira-kira 10 hingga 15 unit rumah bantuan mangsa banjir.

“Kediaman dicat warna hijau muda itu dibina oleh kerajaan Persekutuan tetapi Wahab dan isterinya tercicir daripada menerima bantuan rumah walaupun mereka melunaskan cukai tanah kepada kerajaan negeri,” kata Rozita.

Sehubungan itu, jelasnya, pelan binaan rumah dengan dua ruang bilik itu juga sudah disiapkan bagi menggantikan podok yang mereka duduki pada masa ini.

“Kita sudah beli 75 kampit simen dan 5,000 bata. Kerja-kerja pembinaan rumah tersebut dijadualkan secepat yang boleh. Kita jangka sebelum Hari Raya ini siap.

“Oleh itu, besarlah harapan kami agar bantuan dana dapat disumbangkan segera agar pembinaan rumah bagi pasangan terbabit dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujar Rozita kepada Malaysia Dateline hari ini.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi 011-334 40479.

COMMENTS

Wordpress (0)