Malaysia Dateline

Mangsa banjir di 33 PPS di Selangor menurun kepada 5,143 mangsa

Setakat jam 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor terus berkurangan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah mangsa menurun kepada 5,143 mangsa manakala 33 PPS masih terus beroperasi.

“Meskipun menurun, kerajaan negeri terus memantau keadaan semasa dan dalam keadaan bersiap sedia,” katanya dalam kemaskini terbaru di Facebook hari ini.

Malam tadi, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor mencatatkan jumlah mangsa terus menurun kepada 8,715 orang daripada 2,458 keluarga di 46 PPS.

Ia menurun berbanding 8,821 orang di 56 PPS pada tengahari semalam.