Mangsa banjir di empat negeri berkurangan

Mangsa banjir di empat negeri berkurangan

Jumlah mangsa banjir di Johor, Kelantan, Perak dan Selangor berkurangan kepada 6,879 orang malam tadi berbanding 7,529 orang, pada sebelah petangnya.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di 58 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah yang terjejas akibat bencana itu berkurangan kepada 4,834 berbanding 5,385 pada sebelah petang.

Segamat masih menempatkan mangsa paling ramai dengan 2,908 orang melibatkan 746 keluarga di 40 PPS, diikuti Tangkak (1,512), Muar (405) dan Kluang (sembilan).

Di Kelantan, jumlah mangsa menurun kepada 1,163 berbanding 1,201 orang petang semalam. Mangsa paling ramai dipindahkan ialah di Jeli iaitu 844 orang di tiga PPS diikuti Kuala Krai (200), Gua Musang (76), Pasir Puteh (25) dan Tanah
Merah (14).

Di Perak, mangsa banjir yang ditempatkan di sembilan PPS berkurangan kepada 536 orang berbanding 591 orang petang semalam.

Jumlah mangsa di daerah Manjung masih kekal sebanyak 217 diikuti Hilir Perak (95), Larut Matang (41) dan Kinta menurun kepada lapan orang berbanding 54 orang.

Di Selangor, mangsa banjir di tiga PPS di Sabak Bernam menurun sedikit kepada 345 berbanding 352 pada sebelah petang.

Namun terdapat peningkatan di Pahang dan Sarawak membabitkan 12,546 mangsa berbanding 11,524 pada petang semalam.

Di Pahang, jumlah mangsa kembali meningkat kepada 6,728 orang daripada 1,853 keluarga berbanding 6,152 orang daripada 1,682 keluarga petang semalam di 110 PPS.

Di daerah Lipis mencatatkan jumlah paling ramai sebanyak 2,000 orang diikuti Temerloh (1,720), Jerantut (1,137), Rompin (964), Maran (341), Bera (322), Pekan (196), Raub (39) dan Kuantan (sembilan).

Di Sarawak, jumlah mangsa juga turut meningkat kepada 5,818 daripada 894 keluarga berbanding 5,372 orang daripada 811 keluarga.

Kesemua keluarga itu daripada 26 buah rumah panjang di Miri dan sebuah sekolah rendah di daerah itu. Bagaimanapun setakat ini tiada penduduk yang ditempatkan di PPS.

TAGS