Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 14,237 pagi ini

Petugas AMANAH membawa bantuan untuk mangsa banjir di Kelantan.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 14,237 orang pada 8 pagi ini berbanding 13,873 orang pada 9 malam tadi.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa daripada 5,561 keluarga itu ditempatkan di 63 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Gua Musang merupakan jajahan terbaru dilanda musibah berkenaan apabila seramai 142 mangsa daripada 32 keluarga dipindahkan ke dua PPS yang mula dibuka pada malam tadi.

Pasir Mas terus mencatatkan angka tertinggi dengan 10,646 mangsa daripada 4,482 keluarga yang dipindahkan ke 40 PPS, diikuti Tumpat dengan 2,266 mangsa daripada 794 keluarga yang ditempatkan ke enam PPS.

Selain itu, seramai 828 mangsa daripada 247 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pasir Puteh, 214 mangsa daripada 63 keluarga dipindahkan ke empat PPS di Kota Bharu dan 141 mangsa daripada 43 keluarga masih berada di tiga PPS di Tanah Merah.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dilaporkan menurun kepada 10.29 meter pada 8 pagi ini berbanding 10.34 meter pada 8 malam tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula kekal pada paras 3.71 meter dalam tempoh sama. Paras bahaya ialah 2.50 meter.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan setakat tengah hari tadi manakala hujan kadangkala lebat dilaporkan berlaku di beberapa tempat.

CATEGORIES
TAGS