Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat petang ini

Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat petang ini

Jumlah mangsa banjir di Kelantan mencecah 3,033 orang pada 4 petang ini berbanding 2,459 orang pada 1 tengah hari tadi.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Jeli merupakan kawasan terbaharu dilanda bencana tersebut apabila seramai 116 mangsa daripada 30 keluarga dipindahkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) petang ini.

Sebanyak 52 PPS dibuka di lapan jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, Bachok dan Jeli, setakat petang ini.

Kota Bharu masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai apabila

891 mangsa daripada 216 keluarga dipindahkan ke enam PPS; diikuti Pasir Mas dengan 667 mangsa daripada 218 keluarga ditempatkan di 17 PPS.

Di Pasir Puteh pula, seramai 445 mangsa daripada 146 keluarga ditempatkan di lima PPS manakala 351 mangsa daripada 99 keluarga dipindahkan ke lima PPS di Machang.

Sementara itu, di Tanah Merah, seramai 337 mangsa daripada 86 keluarga dipindahkan ke 10 PPS; 127 mangsa daripada 29 keluarga ditempatkan di enam PPS di Kuala Krai dan

99 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Bachok.

Penduduk meredah air menggunakan motosikal berikutan limpahan air Sungai Golok di sekitar Pekan Rantau Panjang hari ini. –foto BERNAMA

Dalam pada itu, menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.33 meter pada pukul 3 petang ini berbanding 10.30 meter pada 1 tengah hari tadi (paras bahaya 9 meter).

Manakala di Terengganu Hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Terengganu menyebabkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,748 orang setakat pukul 4 petang ini berbanding 1,173 orang pada 1 tengah hari tadi.

Enam pusat pemindahan sementara (PPS) baharu kini dibuka untuk menampung 663 keluarga di enam daerah menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ialah di 41 lokasi seluruh negeri.

Daerah Hulu Terengganu merekodkan kenaikan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 820 orang (366 keluarga) di 20 PPS berbanding 497 orang (193 keluarga) di 18 PPS sebelum ini.

Mengikut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Daerah Besut turut mencatat kenaikan jumlah mangsa iaitu 219 orang (102 keluarga) di dua PPS berbanding 116 orang (31 keluarga) pada tengah hari tadi.

“Setiu turut mencatat kenaikan jumlah mangsa iaitu 419 orang (109 keluarga) berbanding 339 orang (74 keluarga) setelah satu lagi PPS dibuka.

“Di Marang pula, terdapat 64 orang (19 keluarga) ditempatkan di lima PPS manakala di Dungun, seramai 164 orang (45 keluarga) dipindahkan ke lima PPS,\” menurut laporan itu.

Sedikit kenaikan turut berlaku di Kuala Nerus menyaksikan pertambahan kepada 62 orang (22 keluarga) setelah satu lagi PPS dibuka.

Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan dua sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya setakat 4.15 petang ini iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu mencatat bacaan 21.83 meter (m) melepasi paras bahaya 21.50 m dan Sungai Marang di Pengkalan Berangan setinggi 3.06 m (paras bahaya 3.00 m).

Dua sungai yang melebihi paras amaran pula ialah Sungai Besut di Kampung La naik setinggi 20.96 m (paras amaran 20.80 m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebadi Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 17.88 m (paras amaran 17.80 m).

CATEGORIES
TAGS