Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu menurun pagi ini

Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu menurun pagi ini

Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 8,392 orang setakat 8 pagi ini berbanding 10,402 orang 9 malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir, sebanyak 49 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir terbabit daripada lima jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai.

Seramai 3,725 orang daripada 1,033 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan di Kota Bharu, 2,546 orang (696 keluarga) di 10 pusat pemindahan di Pasir Puteh dan 1,547 orang (555 keluarga) ditempatkan di 19 pusat pemindahan di Pasir Mas.

Seramai 522 orang (141 keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Bachok dan 52 orang (14 keluarga) ditempatkan di dua pusat pemindahan di Kuala Krai.

Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun kepada 9.97 meter berbanding 10.05m pada pukul 8 malam tadi, yang melepasi paras bahaya iaitu 9.00m.

Menurut Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 23 pusat pemindahan masih beroperasi dan menempatkan 247 keluarga di lima daerah.

Di Besut, keadaan bertambah baik apabila jumlah mangsa terus menurun kepada 155 orang (40 keluarga) berbanding 344 orang (84 keluarga) malam tadi. Ketika ini, empat pusat pemindahan masih dibuka di daerah itu.

Penurunan jumlah mangsa juga berlaku di Setiu yang kini merekodkan hanya 153 orang (32 keluarga) berbanding 179 orang (41 keluarga) malam tadi, dan sepertimana di Besut, empat pusat pemindahan juga masih beroperasi di Setiu.

Keadaan banjir di Hulu Terengganu juga terus menunjukkan pemulihan positif dengan penurunan jumlah mangsa kepada 410 orang (136 keluarga) berbanding 541 orang (190 keluarga) sebelum ini.

Kesemua mereka kini berada di lapan pusat pemindahan.

Bagaimanapun, berlaku sedikit peningkatan jumlah mangsa di Kemaman iaitu 184 orang (38 keluarga) berbanding 89 orang (17 keluarga) susulan pembukaan tiga pusat pemindahan baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi enam pusat.

Di Dungun, situasi masih tidak berubah dengan hanya satu pusat pemindahan dibuka untuk dua sekeluarga di Sekolah Kebangsaan Minda Talong.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan hanya sebatang sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai.

Walaupun bacaan yang direkodkan pukul 8 pagi ini ialah 21.19 meter, namun ia menunjukkan penurunan berbanding 22.47 meter malam tadi (parasbahaya 21.00 meter).’

Murid dan guru yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Kampung Buloh, Permaisuri meredah banjir.Foto Bernama.

TAGS