Malaysia Dateline

Mangsa banjir diberi kelonggaran tangguh bayaran pinjaman TEKUN

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) memberi kelonggaran kepada peminjam yang terjejas banjir untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman kepada agensi itu.

Pengerusinya Datuk Seri Mohammad Suparadi Md Noor berkata peminjam yang terlibat dengan bencana alam itu boleh mengemukakan permohonan kepada pihak agensi sekiranya mahu berbuat demikian.

“Perkara ini tidak menjadi masalah kerana ia terdapat dalam kaedah pembayaran balik hutang oleh peminjam kepada pihak kami jika mereka ditimpa sesuatu musibah.

“Mereka harus tampil kepada pihak kami dan pihak kami akan struktur semula kaedah pembayaran balik hutang mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Kembali Ke Sekolah di sini, hari ini.

Mohammad Suparadi berkata kelonggaran itu diberikan berikutan pihaknya tidak mahu menambah bebanan ditanggung peminjam yang terlibat dengan bencana banjir atau musibah lain.

“Bagaimanapun mereka harus membayar hutang mereka itu. Bayaran balik hutang itu akan kami jadikan modal untuk menyediakan dana kepada peminjam yang lain,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Suparadi berkata pihaknya memperuntukkan RM280,000 bagi membantu golongan tidak kemampuan di negeri ini pada program terbabit.

“Peruntukan itu merupakan zakat perniagaan pihak kami bagi meringankan beban golongan kurang kemampuan di negeri ini bagi menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

— BERNAMA