Malaysia Dateline

Mangsa banjir Johor, Terengganu, Pahang dan Sabah hampir cecah 12,000

Seramai 11,991 mangsa banjir direkodkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Johor, Terengganu, Pahang dan Sabah sehingga 8 malam tadi.

Menurut kenyataan NADMA, kesemua negeri terbabit mencatatkan peningkatan jumlah mangsa sejak tiga hari lepas.

Terdapat 3,285 keluarga terlibat dan kini ditempatkan di 77 pusat pemindahan, menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, NDCC memaklumkan amaran cuaca buruk dan amaran cuaca waspada telah ditamatkan di keempat-empat negeri terbabit.

Jumlah mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) daerah kecil Membakut, Sabah meningkat lagi kepada 590 orang daripada 207 keluarga setakat 10 malam tadi berbanding 566 orang daripada 196 keluarga, tengah hari tadi.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, 463 mangsa daripada 162 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah St Patrick manakala selebihnya 127 orang daripada 45 keluarga kini berada di PPS Dewan Serbaguna Membakut.

“Sekiranya mangsa terus meningkat Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut 2 siap sedia untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut agensi itu, 26 kampung di daerah itu masih terjejas banjir manakala lapan jalan raya tidak dapat dilalui akibat ditenggelami air.

Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 254 orang setakat 9 malam tadi berbanding 395 orang di sebelah petang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata penurunan itu disebabkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kluang dan Mersing telah ditutup.

Tiga PPS yang telah ditutup ialah Dewan Raya Kampung Parit Hassan di Kluang, Sekolah Kebangsaan Tenglu dan Balairaya Serbaguna Kampung Benaung di Mersing, kata beliau dalam kenyataan di sini malam tadi.

Setakat ini, lima PPS masih dibuka dengan empat di daerah Mersing dan satu di Segamat.

Menurut Ayub, sebanyak 239 mangsa banjir daripada 70 keluarga ditempatkan di empat PPS di Mersing dengan Sekolah Agama Pengkalan Batu menempatkan paling ramai mangsa banjir ketika ini iaitu 131 orang daripada 35 keluarga.

Di Mersing, kawasan yang masih terjejas banjir ialah Kampung Kelantan, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Tawar, Kampung Jemari, Kampung Air Merah dan Kampung Pengkalan, kata Ayub.