Malaysia Dateline

Mangsa banjir Kelantan terus meningkat ke 12,734 orang, Terengganu catat penurunan

Banjir di Kelantan kini bertahan.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan mencecah 12,734 orang setakat 9 malam tadi berbanding 11,341 pada 5 petang.

Kesemua mangsa ditempatkan di 101 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan Pasir Mas mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 8,004 orang daripada 3,317 keluarga yang dipindahkan ke 44 PPS, diikuti Kota Bharu dengan 1,440 mangsa daripada 374 keluarga yang dipindahkan ke 13 PPS.

Sebanyak lapan PPS dibuka di Pasir Puteh membabitkan 819 mangsa daripada 244 keluarga manakala 777 mangsa daripada 230 keluarga ditempatkan di 16 PPS di Tanah Merah serta 684 mangsa daripada 219 keluarga ditempatkan di empat PPS di Tumpat.

Di Machang pula, seramai 375 mangsa daripada 112 keluarga dipindahkan ke lapan PPS, 313 mangsa daripada 74 keluarga ditempatkan di dua PPS di Bachok, 282 mangsa daripada 74 keluarga menghuni enam PPS di Kuala Krai dan 40 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan ke satu PPS di Jeli.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas menurun kepada 10.55 meter pada 9 malam tadi berbanding 10.66 meter pada 5 petang. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula meningkat kepada 3.47 meter berbanding 3.42 meter pada tempoh sama (bahaya 2.50 meter).

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan hingga malam ini manakala hujan dilaporkan semakin reda di beberapa kawasan di negeri ini.

Situasi banjir di Terengganu bertambah baik dengan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1, 244 orang daripada 328 keluarga setakat pukul 10 malam tadi berbanding 2,432 orang (833 keluarga) pagi semalam.

Semua 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Terengganu juga sudah ditutup sepenuhnya pada pukul 4.45 petang semalam. Ketika ini hanya 30 PPS beroperasi di enam daerah berbanding 64 PPS pagi semalam.

Namun, mengikut laporan portal Info Banjir Daerah Besut mencatat kenaikan jumlah mangsa iaitu 1,055 orang (279 keluarga) di 21 PPS berbanding 842 orang (250 keluarga) sebelum ini.

Jumlah mangsa banjir di Setiu dan Dungun juga merekodkan penurunan iaitu hanya satu pusat PPS beroperasi di Setiu ketika ini menempatkan 27 orang daripada lima keluarga berbanding 378 orang (104 keluarga) sebelum ini.

Manakala di Dungun, hanya 33 orang (sembilan keluarga) masih berada di dua PPS daerah itu berbanding 165 orang (48 keluarga) pagi semalam, menurut portal berkenaan.

Situasi banjir di Kuala Nerus juga bertambah baik dengan 35 mangsa banjir (sembilan keluarga) berada di dua PPS di Kuala Nerus berbanding 126 orang (32 keluarga) sebelum ini.

Di Marang, hanya 41 orang (12 keluarga) masih berada di dua PPS daerah itu berbanding 71 orang (22 keluarga) sebelum ini.

Di Kuala Terengganu, jumlah mangsa merekodkan sedikit penurunan kepada 53 orang (15 keluarga) berbanding 59 orang (16 keluarga) pagi semalam.