Malaysia Dateline

Mangsa banjir meningkat, Raja Bahrin lawat kawasan terjejas

Jumlah mangsa banjir di Terengganu semakin buruk apabila terus meningkat sehingga 2,296 orang daripada 648 keluarga yang dipindahkan ke 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pagi ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dalam lawatannya semalam berkata, empat kawasan yang paling teruk terjejas dengan banjir awal itu termasuk kawasan Besut, Setiu, Ulu Terengganu dan Dungun.

Raja Kamarul Bahrin menyantuni mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan.

Namun, beliau memberi jaminan sebanyak 1,200 anggota bomba yang telah digerakkan akan memastikan bantuan dan keselamatan sepanjang menghadapi musim banjir adalah mencukupi.

“Selepas menziarahi beberapa kawasan banjir, empat kawasan yang paling terkesan pada banjir awal ini adalah kawasan Besut, Setiu, Ulu Terengganu dan juga Dungun.

“Lebih 2,200 orang telah berpindah (ke Pusat Pemindahan) dan dalam proses penjagaan serta bantuan oleh pihak-pihak terlibat.

“Pihak bomba juga dalam keadaan bersiap sedia di mana lebih kurang 45 lapangan kapal terbang seluruh negeri telah disediakan untuk pemindahan dan juga pengangkutan makanan dan bantuan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan menilai segala kerosakan barangan dan keperluan keluarga mangsa banjir agar mendapat bantuan yang sewajarnya.

Pihak berwajib akan memastikan bantuan dan keselamatan sepanjang menghadapi musim banjir adalah mencukupi, kata Raja Kamarul Bahrin.

Malah, kerosakan termasuk kerugian juga akan cuba diatasi bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat.

“Sebahagian besar daripada mereka yang berpindah, kita akan membuat satu penilaian apakah bantuan yang diperlukan.

“Yang mana memerlukannya segera, kita akan utamakan. Yang mana tidak begitu mendesak, kita akan cuba beransur beri bantuan dalam waktu yang terdekat.

“Ia termasuk kerosakan rumah dan kerugian dari segi tanaman dan sebagainya. kita akan buat penilaian sewajarnya oleh kerana ini adalah musim yang memerlukan pemantauan dan pemerhatian pihak kerajaan untuk membantu mereka (mangsa) pulih dan dapat bekerja, menyara hidup keluarga secepat mungkin,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga sempat menziarahi beberapa buah keluarga di Pusat Pemindahan tersebut, bagi menyampaikan bantuan.