Selepas kereta, mangsa kebakaran paip gas Putra Height dapat motosikal pula

Oleh BORHAN AHMAD

Selepas bantuan kereta, seramai 55 mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights menerima motosikal secara ‘one-off’ daripada syarikat Spanco semalam, 8 April 2025.

Penerima yang kebanyakannya dari Kampung Kuala Sungai Baru mendapat ‘pemilikan penuh’ motosikal itu tanpa perlu membayar kos insurans untuk tahun pertama, nombor pendaftaran dan cukai jalan.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, bantuan tersebut bukan hanya kerana mangsa kehilangan motosikal sebagai mod pengangkutan, tetapi mungkin memerlukannya untuk mencari nafkah kehidupan.

“Memang tak dapat cari motosikal untuk disewakan, maka kami terus dapatkan penajaan dan terus membeli motosikal untuk mangsa.

“Mereka tak perlu bayar apa-apa,” kata Loke selepas majlis penyerahan motosikal kepada mangsa letupan paip gas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights.

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyerahkan 55 motor sumbangan Spanco kepada mangsa kebakaran paip gas dari Kampung Sungai Baru, bersebelahan Putra Height)

Beliau memaklumkan semua penerima motosikal telah disaring dan ‘disahkan’ status mangsa dari kawasan terjejas sebelum mendapat sumbangan, dengan bantuan ketua kampung terbabit.

Sebelum ini, bantuan 30 kereta sementara daripada Tan Chong kepada mangsa-mangsa kebakaran diserahkan dalam majlis dihadiri Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Kesemua mangsa yang menerima motosikal ini adalah mereka yang kehilangan motosikal dalam kebakaran paip gas di Putra Height.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Proton, Cherie, Carro dan lain-lain memberikan pinjaman kereta selama sebulan untuk mangsa yang kehilangan kereta dalam kebakaran ini.

Ia bertujuan untuk membolehkan mereka menjalankan urusan seharian sementara mereka mendapat pampasan dari pihak insuran ekoran kemusnahan kereta mereka dalam kebakaran ini.